Usaha-usaha Mengatasi Masalah Buli dalam Kalangan Pelajar

 




Pada era langit terbuka ini, isu buli dalam kalangan pelajar semakin meruncing. Isu ini sering terpampang di dada akhbar dan diperkatakan oleh warga sekolah. Antara insiden buli adalah seperti buli  fizikal, buli verbal dan gangguan seksual. Menurut statistik Kementerian Pendidikan Malaysia, sebanyak 4,994 kes buli direkodkan sepanjang tahun 2023. Keadaan ini tidak harus dipandang remeh kerana boleh mendatang impak buruk kepada pembuli dan mangsa buli dari aspek kesihatan fizikal, mental dan emosi. Persoalannya kini, siapakah yang harus dipertanggungjawabkan bagi membendung isu buli di sekolah? Sehubungan dengan itu, usaha-usaha mengatasi masalah buli dalam kalangan pelajar akan dihuraikan secara terperinci agar pengetahuan kita bertambah tentang isu tersebut kerana jauh berjalan luas pandangan. 
        Pada hemat saya, prakarsa perdana untuk mengatasi masalah buli dalam kalangan pelajar ialah ibu bapa harus memberikan didikan agama yang sempurna kepada anak-anak. Hal ini dikatakan demikian kerana, ajaran agama membimbing anak-anak melakukan kebaikan dan menghindari segala kejahatan. Sebagai contoh, ibu bapa boleh menghantar anak-anak ke kelas agama pada setiap hari minggu. Dengan adanya takwa dan iman yang kukuh dalam diri anak, kita mampu membentuk insan yang berakhlak mulia. Benarlah kata peribahasa, tak tumbuh tak melata, tak sungguh orang tak kata, ibu bapa perlu memberikan didikan agama yang sempurna kepada anak-anak sejak mereka kecil lagi ibarat kata peribahasa, melentur buluh biarlah dari rebungnya.
        Selain itu, usaha yang tidak boleh dikesampingkan ialah pihak Kementerian Pendidikan Malaysia sewajarnya menggubal undang-undang antibuli. Hal ini menjelaskan bahawa, undang-undang yang ketat dan tegas dapat mengawal kelakuan pelajar. Sebagai contoh, pembuli mesti dikenakan hukuman yang berat dan setimpal dengan kesalahannya supaya tidak menjadi ikutan pelajar-pelajar lain. Melalui penguatkuasaan undang-undang antibuli, nescaya tingkah laku pelajar dapat dikawal dan kes buli dalam kalangan pelajar dapat dikurangkan ke tahap yang paling minimum. Tegasnya, undang-undang antibuli yang khusus harus digubal bagi menambah baik dan memperkasakan undang-undang yang sedia agar isu buli dapat ditangani dengan efektifnya.
        Manhaj jitu seterusnya ialah pihak sekolah harus menganjurkan kempen antibuli secara besar-besaran. Dalam konteks ini, kempen tersebut dapat memberikan kesedaran kepada warga sekolah tentang perlakuan buli dan kesan-kesan buli terhadap diri sendiri dan orang lain. Misalnya, pihak sekolah boleh mengadakan pameran dan ceramah antibuli yang melibatkan semua warga sekolah. Program tersebut perlu dijalankan dari semasa ke semasa agar mencapai matlamatnya umpama peribahasa, alang-alang menyeluk pekasam, biar sampai ke pangkal lengan. Kesannya, setiap warga sekolah akan peka akan perbuatan buli dan mengambil tindakan yang sewajarnya untuk menghindarkan diri daripada menjadi mangsa buli. Intihanya, bergelanggang di mata orang banyak, pihak sekolah harus menjadikan kempen antibuli sebagai program tahunan sekolah bagi membendung isu buli sehingga ke akar umbi. Keadaan ini bersesuaian dengan peribahasa, jika tidak dipecahkan ruyung, manakan dapat sagunya. 
        Meniti kodifikasi seterusnya, pelajar mestilah bersikap berani untuk melaporkan kejadian buli. Tindakan ini amat penting bagi melindungi diri dan rakan daripada menjadi mangsa buli. Sebagai contoh, pelajar boleh melaporkan kejadian buli kepada guru disiplin atau melalui Portal Aduan Buli. Impaknya, pihak sekolah dengan kerjasama pihak polis akan mengambil tindakan tegas terhadap pembuli untuk mencegah perbuatan buli daripada terus berlaku. Tegasnya, pelajar mestilah berani mendedahkan insiden buli demi menjaga keselamatan diri dan rakan. 
        Sebagai penyimpul isu yang diperkatakan, terdapat beberapa usaha yang proaktif dan pragmatik untuk mengatasi isu buli dalam kalangan pelajar. Sehubungan dengan itu, semua pihak yang terlibat harus berganding bahu bagai aur dengan tebing supaya wujud sinergi yang mapan bagi membendung isu buli sebelum kudis menjadi tokak. Mudah-mudahan dengan iltizam yang padu dan nawaitu yang jitu, kita dapat melahirkan pelajar yang mempunyai sahsiah yang terpuji untuk menerajui negara ke arah memacukan pertumbuhan ekonomi negara selaras dengan konsep gagasan MADANI ibarat kata peribahasa, pemuda harapan bangsa, pemudi tiang negara. 

Comments

Popular posts from this blog

Usaha-usaha menarik Minat Golongan Muda Menceburi Bidang Pertanian

Kepentingan Sektor Pelancongan kepada Rakyat dan Negara

Manfaat-manfaat Semangat Kejiranan