Langkah-Langkah Memupuk Amalan Menabung


Dalam meniti arus pemodenan ini, amalan menabung semakin luntur dalam kalangan masyarakat. Isu ini sering terpampang di dada akhbar. Sesungguhnya, amalan menabung dilihat amat penting dalam menghadapi dunia yang penuh cabaran, lebih-lebih lagi dalam situasi ekonomi dunia yang tidak stabil. Oleh itu, marilah kita rungkai satu demi satu langkah untuk memupuk amalan menabung dalam kalangan masyarakat hari ini agar pengetahuan kita bertambah tentang amalan mulia ini bak kata peribahasa, jauh berjalan luas pandangan.

    Siang bagai hari, terang bagai bulan, prakarsa perdana untuk memupuk amalan menabung sewajarnya bermula dari rumah. Hal ini realitinya menjelaskan bahawa, ibu bapa mestilah mendidik anak-anak tentang kepentingan tabiat menabung sejak kecil lagi umpama peribahasa, melentur buluh biarlah dari rebungnya. Sebagai contoh, ibu bapa boleh menyediakan tabung syiling di rumah dan menggalakkan anak-anak menyimpan wang belanja persekolahan yang selebihnya di dalam tabung. Impaknya, anak-anak akan mempunyai simpanan apabila dewasa kelak. Wang simpanan tersebut akan memudahkan mereka melanjutkan pelajaran dan memulakan kehidupan baharu apabila ingin berumah tangga. Maka, benarlah kata peribahasa, tak tumbuh tak melata, tak sungguh orang tak kata, ibu bapa perlu menjadi suri teladan yang baik untuk menanam sikap suka menabung dalam diri anak-anak.

    Manhaj jitu seterusnya ialah pihak sekolah perlu bertanggungjawab untuk memupuk budaya menabung dalam kalangan pelajar. Hal ini dikatakan demikian kerana, sekolah merupakan tempat yang paling sesuai untuk menerapkan nilai-nilai murni seperti nilai berjimat cermat dan kesederhanaan dalam kalangan pelajar. Sebagai contoh, pihak sekolah boleh bekerjasama dengan pihak bank untuk menganjurkan Bulan Menabung Amalan Mulia. Kesan daripada usaha tersebut, pelajar-pelajar akan sedar akan kepentingan amalan menabung dalam kehidupan harian. Hal ini bersesuaian dengan kata peribahasa, jika tidak dipecahkan ruyung, manakan dapat sagunya. Oleh itu, pihak sekolah perlu melangkah sederap ke hadapan untuk membuka minda pelajar tentang kemaslahatan amalan menabung. 

    Dalam dimensi yang berlainan, media massa perlu memainkan peranan untuk menyemai sikap suka menabung dalam kalangan masyarakat. Justifikasinya, media massa merupakan saluran komunikasi yang terbaik dan terpantas untuk menyebarkan sesuatu maklumat kepada masyarakat. Tamsilnya, pihak media boleh menyiarkan iklan tentang kepentingan menabung menerusi kaca televisyen. Di samping itu, juruhebah juga boleh menguar-uarkan kebaikan menabung kepada orang ramai menerusi stesen-stesen radio. Implikasinya, masyarakat akan cakna tentang aktiviti menabung. Intihanya, bergelanggang di mata orang banyak, media massa seperti televisyen dan radio mampu memupuk amalan menabung dalam kalangan masyarakat. 

    Akhirulkalam, terdapat beberapa langkah untuk memupuk amalan menabung kalangan masyarakat. Sehubungan dengan itu, semua pihak yang terbabit mestilah berganding bahu bagai aur dengan tebing untuk meningkatkan kesedaran tentang kepentingan menabung dalam kalangan generasi hari ini. Kita berharap semoga rakyat Malaysia bijak menabung demi masa depan yang lebih cerah. Ingatlah bahawa, sedikit-sedikit lama-lama menjadi bukit. 

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Manfaat-manfaat Semangat Kejiranan

Kepentingan Sektor Pelancongan kepada Rakyat dan Negara

Langkah-langkah Memupuk Semangat Kejiranan