Punca-punca Pencemaran Udara

 


Dalam menongkah arus pemodenan yang deras, isu pencemaran udara di negara kita semakin kritikal seperti retak menanti belah. Isu ini sering disiarkan dalam media massa dan diperkatakan oleh masyarakat. Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), pencemaran udara yang berterusan boleh mendatangkan impak buruk kepada kesihatan fizikal dan mental penduduk global. Persoalannya kini, mengapakah fenomena ini berlaku? Sehubungan dengan itu, marilah kita rungkai satu demi satu punca pencemaran udara agar pengetahuan kita bertambah tentang fenomena ini kerana jauh berjalan luas pandangan.
    Kalau tiada angin masakan pokok bergoyang. Punca perdana pencemaran udara ialah pelepasan asap hitam oleh industri perkilangan. Dalam konteks ini, pengusaha kilang gagal mematuhi peraturan yang telah ditetapkan oleh Jabatan Alam Sekitar Malaysia (JASM). Sebagai evidensinya, pengusaha kilang kimia tidak memasang alat penapis udara atau alat pemantauan secara automatik pelepasan sisa enfluen di cerobong kilang. Hal ini menyebabkan kualiti udara di kawasan perindustrian tidak dapat dikawal. Tegasnya, sikap pengusaha kilang yang diibaratkan seperti enau dalam belukar melepaskan pucuk masing-masing telah menjadi faktor penyumbang kepada isu pencemaran udara.
    Selain itu, punca yang tidak boleh dikesampingkan ialah pelepasan asap beracun oleh kenderaan bermotor. Hal ini  dikatakan demikian kerana, bilangan kenderaan bermotor di negara kita semakin meningkat setiap tahun terutamanya di kawasan pusat bandar akibat kepesatan pembangunan iktisad negara. Hal ini terbukti berdasarkan statistik Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), iaitu jumlah kenderaan dikatakan bertambah hampir sejuta unit setiap tahun bermula tahun 2019. Natijahnya, gas karbon monoksida, sulfur dioksida dan nitrogen dioksida  mencatat kepekatan yang tinggi di jalan raya yang sesak. Maka, jelaslah  bahawa, peningkatan kenderaan bermotor telah memudaratkan kualiti udara di negara kita. 
    Dalam menelusuri indikator yang seterusnya, pencemaran udara berpunca daripada kegiatan pembakaran terbuka oleh golongan yang tidak bertanggungjawab. Dalam konteks ini, aktiviti pembakaran terbuka dilakukan untuk tujuan pertanian. Tamsilnya, sesetengah pengusaha ladang kelapa sawit membakar kawasan ladang secara sengaja untuk tujuan aktiviti penanaman semula kelapa sawit. Implikasinya, kaedah penanaman secara tradisi lama ini telah mengakibatkan masalah jerebu yang serius. Oleh itu, masyarakat mestilah sentiasa sedar bahawa api kecil menjadi kawan apabila besar menjadi lawan. 
    Tidak dapat disangkalkan jua, tabiat merokok dalam kalangan masyarakat turut menyumbang kepada isu pencemaran udara. Hal ini dikatakan demikian kerana, pembakaran tembakau dan bahan kimia dalam rokok akan membebaskan asap yang berbahaya ke udara. Contohnya, hidrogen sianida, karbon monoksida dan ammonia. Impaknya, asap toksik ini boleh mengakibatkan kerosakan paru-paru dan mengundang penyakit kanser. Oleh itu, benarlah bahawa, tabiat merokok menjadi punca pencemaran udara dan penyakit kanser paru-paru. 
    Akhirulkalam, terdapat beberapa faktor yang menyumbang kepada isu pencemaran udara. Sehubungan dengan itu, semua pihak yang terbabit perlu mengambil langkah yang proaktif dan pragmatik untuk menangani isu tersebut sebelum kudis menjadi tokak. Jika kita gagal berbuat demikian, kesihatan awam pasti terancam. Mudah-mudahan dengan iltizam yang  padu dan nawaitu yang jitu, masyarakat akan lebih cakna terhadap kepentingan menjaga kelestarian alam demi mengekalkan kesihatan yang baik. Ingatlah bahawa, sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tidak berguna. 

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Manfaat-manfaat Semangat Kejiranan

Kepentingan Sektor Pelancongan kepada Rakyat dan Negara

Langkah-langkah Memupuk Semangat Kejiranan