Kebaikan-kebaikan Pembelajaran Secara Maya



Sejak awal tahun 2020, krisis global akibat penularan wabak penyakit COVID-19 telah mengubah landskap pendidikan di seantero dunia. Dunia pendidikan di negara kita turut mengalami perubahan yang ketara menyebabkan pembelajaran secara konvensional tertangguh dalam usaha memutuskan rangkaian penularan virus COVID-19. Lantaran itu, kaedah pembelajaran secara maya dilaksanakan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Persoalannya kini, apakah kemaslahatan kaedah pembelajaran secara dalam talian kepada guru dan murid? Sehubungan dengan itu, kebaikan pembelajaran secara maya akan dihuraikan secara terperinci agar pengetahuan kita bertambah tentang kaedah pembelajaran ini bak kata pepatah, jauh perjalanan luas pemandangan. 
    Pada hemat saya, kebaikan prima pembelajaran secara maya ialah kaedah ini membantu guru memudahkan dan mempercepat penyampaian ilmu. Dalam konteks ini, guru dapat menyediakan bahan pengajaran yang lebih interaktif dengan menggunakan perisian komputer dan aplikasi dalam talian seperti Microsoft PowerPoint dan YouTube dalam masa yang singkat. Sebagai contoh, guru boleh memuat turun maklumat melalui Internet dan memaparkan maklumat tersebut dalam pelbagai bentuk seperti video, grafik dan animasi untuk menarik perhatian murid. Pada masa yang sama, murid boleh mengakses maklumat tersebut pada bila-bila masa sahaja dengan menggunakan peranti elektronik di rumah. Implikasinya, guru dapat menjimatkan masa dan tenaga dalam penyediaan bahan pengajaran manakala murid pula boleh memperoleh gambaran yang lebih jelas berbanding dengan kaedah pengajaran secara konvensional. Maka, jelaslah bahawa, lambakan informasi dalam laman sesawang dapat membantu guru mempercepat proses penyampaian ilmu dengan hujung jari sahaja persis kata aforisme, laut yang ditimba tidak akan kering.
    Selain itu, kebaikan yang tidak boleh dikesampingkan ialah kaedah pembelajaran secara maya menggalakkan penggunaan e-buku secara maksimum. Hal ini realitinya menjelaskan bahawa, kaedah pembelajaran dalam talian mendorong guru dan murid menggunakan bahan dalam salinan lembut. Tamsilnya, guru dan murid boleh mengakses buku teks dan bahan bacaan digital yang lain dengan hanya menyentuh skrin sahaja. Impaknya, murid tidak terikat oleh bahan bacaan fizikal sahaja, sebaliknya bebas menggapai ilmu daripada pelbagai bahan bacaan elektronik terkemuka pada peringkat global dengan menggunakan rangkaian Internet. Oleh itu, siang bagai hari terang bagai bulan, kaedah pembelajaran secara maya mendedahkan murid kepada penggunaan buku elektronik secara maksimum sekali gus mengatasi isu beg berat dalam kalangan murid. 
    Melihat pada perspektif yang berbeza pula, pembelajaran secara maya menggalakkan interaksi dua hala antara guru dengan pelajar. Dalam konteks ini, paparan video, grafik dan audio mampu menarik tumpuan murid dan menjadikan proses pengajaran dan pembelajaran lebih interaktif. Misalnya, guru boleh meminta murid membuat pembentangan menerusi perkongsian skrin dalam aplikasi Google Classroom dan mengadakan sesi soal jawab dengan menggunakan aplikasi Kahoot. Kesan daripada kaedah pembelajaran ini, murid yang bersifat pemalu dan pendiam menjadi berani untuk berinteraksi dengan guru dan rakan. Benarlah bahawa, kaedah pembelajaran secara maya menggalakkan pembelajaran kolaboratif dalam kalangan murid.
    Tidak dapat disangkalkan juga, pembelajaran secara maya dapat membantu guru menentukan tahap pencapaian murid. Dalam konteks ini, guru boleh menggunakan pelbagai teknik untuk mentaksir pencapaian murid. Misalnya, melalui pembentangan secara berkumpulan, lembaran kerja, permainan dan kuiz dalam talian. Impaknya, guru boleh menyediakan soalan pelbagai aras mengikut keperluan murid. Sesungguhnya, kaedah pembelajaran secara maya dapat membantu guru menangani masalah tahap pembelajaran pelajar yang pelbagai secara efektif dan sistematik. 
    Sebagai penyimpul kata bagi segala yang dibincangkan, pembelajaran digital menjadi norma baharu dalam dunia pendidikan di negara kita lantaran penularan virus COVID-19. Sehubungan dengan itu, semua pihak yang terbabit sewajarnya mengembleng kudrat untuk melakukan anjakan paradigma agar penyampaian ilmu kepada pelajar dapat dilaksanakan dengan sempurna. Hakikatnya, golongan murid merupakan bakal peneraju negara bak kata peribahasa, pemuda harapan bangsa, pemudi tiang negara. Kita berdoa semoga dapat melahirkan modal insan yang celik teknologi, berketerampilan dan berkualiti untuk memimpin negara ke puncak kegemilangan.  

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Manfaat-manfaat Semangat Kejiranan

Kepentingan Sektor Pelancongan kepada Rakyat dan Negara

Langkah-langkah Memupuk Semangat Kejiranan