Kepentingan Menyertai Aktiviti Kokurikulum


Aktiviti kokurikulum merupakan aktiviti yang dijalankan oleh murid-murid di luar bilik darjah selepas waktu persekolahan. Kegiatan kokurikulum merangkumi pasukan unit beruniform, persatuan dan kelab sukan. Persoalannya kini, apakah kemaslahatan menyertai aktiviti kokurikulum di sekolah?  Menurut Akta Pendidikan 1996, setiap murid diwajibkan mengambil bahagian sekurang-kurang satu kegiatan unit beruniform, satu kegiatan persatuan dan satu kegiatan kelab sukan di sekolah. Sehubungan dengan itu, marilah kita rungkai satu demi satu kepentingan menyertai aktiviti kokurikulum kepada murid agar pengetahuan kita bertambah kerana jauh berjalan luas pandangan. 

    Pada hemat saya, kepentingan menyertai aktiviti kokurikulum ialah murid dapat menambahkan ilmu pengetahuan dan kemahiran. Dalam konteks ini, murid-murid dapat menimba ilmu dan menguasai kemahiran yang tidak dapat dipelajari secara formal di dalam bilik darjah. Sebagai contoh, murid-murid dapat mempelajari cara-cara mendirikan khemah, membaca peta dan menggunakan kompas apabila menyertai pasukan unit beruniform seperti pasukan pengakap. Impaknya, murid berpeluang untuk menguasai pelbagai cabang ilmu untuk memajukan diri bak kata peribahasa, laut ditimba tak akan kering. Maka, jelaslah bahawa, pelibatan dalam aktiviti kokurikulum dapat membantu murid-murid menambahkan pengetahuan dan meningkatkan kemahiran diri. 

    Meniti kodifikasi seterusnya, kegiatan kokurikulum membolehkan murid mengisikan masa lapang mereka dengan aktiviti yang berfaedah. Hal ini dikatakan demikian kerana, murid-murid akan menjalankan aktiviti kokurikulum di sekolah selepas waktu persekolahan. Tamsilnya, murid yang mengambil bahagian dalam kelab sukan akan menjalani latihan sukan di padang atau di dewan. Lantaran itu, murid tidak akan terjebak dengan kegiatan yang tidak sihat seperti melepak, merokok dan berjudi. Implikasinya, aktiviti sukan dapat membantu murid mengekalkan kesihatan diri, di samping menghindari gejala sosial bagai serampang dua mata. Ternyata benarlah kata peribahasa, siang bagai hari, terang bagai bulan, aktiviti kokurikulum dapat mengisi masa senggang murid dengan berfaedah. 

    Melihat pada perspektif yang berbeza pula, aktiviti kokurikulum dapat membentuk disiplin dalam diri murid. Hal ini dikatakan demikian kerana, murid akan diberi peluang untuk memimpin dan menguruskan persatuan atau kelab. Sebagai contoh, murid yang menjawat jawatan pengerusi, setiausaha, bendahari atau ahli jawatankuasa perlu memikul tanggungjawab untuk melaksanakan peranan masing-masing di bawah bimbingan guru penasihat. Impaknya, murid dapat menyemai nilai kerjasama, berdikari, bertoleransi dan  hormat-menghormati dalam diri. Tegasnya, kegiatan kokurikulum dapat melatih murid supaya menjadi seorang pemimpin yang berwibawa dan berakhlak mulia. 

    Tidak dapat dinafikan bahawa, aktiviti kokurikulum dapat memupuk semangat perpaduan dalam kalangan murid. Hal ini dikatakan demikian kerana, ahli-ahli persatuan atau kelab terdiri daripada murid yang berlainan kaum dan agama. Misalnya, kaum Melayu, Cina dan India. Impaknya, murid-murid berpeluang untuk berinteraksi dan saling memahami semasa menjalankan aktiviti bersama-sama, sekali gus menghapuskan sikap seperti enau dalam belukar melepaskan pucuk masing-masing. Oleh itu, benarlah kata peribahasa, tak tumbuh tak melata, tak sungguh orang tak kata, aktiviti kokurikulum dapat memupuk semangat bermuafakat dalam kalangan murid ibarat kata peribahasa, bersatu teguh, bercerai roboh. 

    Akhirulkalam, aktiviti kokurikulum banyak membawa kemaslahatan kepada murid-murid. Sehubungan dengan itu, semua pihak yang terbabit harus menggembleng kudrat bagai aur dengan tebing untuk menggalakkan murid-murid melibatkan diri secara aktif dalam kegiatan kokurikulum di sekolah. Sesungguhnya, golongan murid merupakan bakal peneraju negara yang memikul obligasi dominan untuk memimpin negara ke puncak kegemilangan. Mudah-mudahan dengan iltizam yang padu dan nawaitu yang jitu, kita dapat melahirkan generasi muda yang berkaliber, kreatif dan berdaya saing.

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Manfaat-manfaat Semangat Kejiranan

Kepentingan Sektor Pelancongan kepada Rakyat dan Negara

Langkah-langkah Memupuk Semangat Kejiranan