Rencana: Usaha-usaha Mengelakkan Diri daripada Menjadi Mangsa Penipuan dalam Talian

 


Usaha-usaha Mengelakkan Diri daripada Menjadi Mangsa Penipuan dalam Talian 
Oleh: Tan Kyler

Dalam menelusuri era globalisasi yang kian mencabar akal dan minda, sindiket penipuan dalam talian semakin berleluasa bagai cendawan tumbuh selepas hujan. Isu penipuan dalam talian sering disiarkan dalam media massa. Persoalannya kini, bagaimanakah isu tersebut dapat ditangani dengan efektifnya? Menurut Ketua Polis Negara, kesedaran masyarakat terhadap ancaman penipuan dalam talian masih rendah walaupun pelbagai kempen kesedaran telah dilaksanakan oleh pelbagai pihak seperti pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan polis. Sehubungan dengan itu, usaha-usaha yang boleh dilaksanakan oleh masyarakat untuk mengelakkan diri daripada menjadi mangsa penipuan dalam talian akan dihuraikan secara terperinci agar pengetahuan kita bertambah tentang isu tersebut umpama kata peribahasa, jauh berjalan luas pandangan.
    Pada hemat saya, prakarsa perdana yang boleh diambil ialah masyarakat mesti berhati-hati dan sentiasa peka terhadap penipuan dalam talian ketika berurusan secara dalam talian. Hal ini dikatakan demikian kerana, jenayah penipuan siber meliputi pelbagai kategori seperti penipuan cinta, penipuan Macau, penipuan tawaran kerja dan penipuan dalam talian. Sebagai contoh, kita mestilah menyembunyikan data peribadi seperti nombor kad pengenalan, nombor akaun bank dan kata laluan. Impaknya, kita dapat mengelakkan data peribadi terdedah kepada penggodam. Maka, benarlah kata peribahasa tak tumbuh tak melata, tak sungguh orang tak kata, masyarakat mestilah sentiasa berwaspada supaya tidak menyesal kelak. 
    Selain itu, usaha yang tidak dapat dikesampingkan ialah masyarakat mesti mengelakkan perkongsian berlebihan di platform media sosial seperti Facebook, Instagram dan Tik Tok. Hal ini dikatakan demikian kerana, populariti seseorang pengguna media sosial boleh membahayakan diri sendiri dan ahli keluarga. Tamsilnya, pengguna siber gemar berkongsi maklumat rutin hidup dalam bentuk foto atau lokasi. Natijahnya, penipu akan menggunakan maklumat tersebut untuk mengambil kesempatan terhadap pengguna terbabit. Tegasnya, masyarakat mesti mengawal perkongsian maklumat rutin hidup di platform media sosial agar tidak menjadi sasaran sindiket penipuan kerana sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tidak berguna.
    Dalam menelusuri prakarsa yang seterusnya, masyarakat mestilah bersikap rasional dan bertenang apabila menerima panggilan atau mesej daripada nombor yang tidak dikenali. Sebagai contoh, sekiranya masyarakat menerima panggilan daripada pihak yang kononnya mendakwa sebagai wakil daripada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) atau polis, masyarakat mestilah mematikan panggilan tersebut serta-merta dan mendapatkan pengesahan daripada pihak yang berkaitan. Justifikasinya, pihak kerajaan tidak akan sewenang-wenangnya menghubungi individu melalui panggilan telefon, sebaliknya segala prosedur perlu melalui surat rasmi. Kesan daripada tindakan tersebut, masyarakat tidak akan terpukau oleh kata-kata penipu yang cuba mengumpan mereka untuk mendedahkan data peribadi atau melakukan transaksi. Intihanya, bergelanggang di mata orang banyak, masyarakat perlu mengambil tindakan yang sewajarnya semasa berhadapan dengan situasi yang mencurigakan supaya tidak terperdaya dengan helah penipu.
     Di samping itu, masyarakat mesti membuat semakan terlebih dahulu sebelum berurusan secara dalam talian. Dalam konteks ini, masyarakat perlu bijak menyemak profil sesebuah syarikat e-dagang melalui laman web rasmi Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP). Hal ini realitinya menjelaskan bahawa, masyarakat boleh membuat pembelian dalam talian dengan peniaga yang berdaftar dan mendapat pensijilan Biztrust seperti Lazada, Shpee dan Zalora. Impaknya, masyarakat dapat menghindari penipuan pembelian dalam talian. Maka, jelaslah bahawa, masyarakat perlu bijak membuat pembelian dalam talian supaya tidak menjadi mangsa sindiket penipuan.
    Sebagai penggulung segala yang dinyatakan di atas, terdapat pelbagai usaha yang boleh dilakukan oleh masyarakat untuk mengelakkan diri daripada menjadi mangsa penipuan siber. Sehubungan dengan itu, masyarakat perlu meningkatkan kesedaran dan peka akan tanggungwab diri untuk menangani isu penipuan siber sebelum kudis menjadi tokak. Kita berharap semoga masyarakat Malaysia lebih cakna tentang penggunaan teknologi maklumat dan mengutamakan keselamatan siber.  

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Manfaat-manfaat Semangat Kejiranan

Kepentingan Sektor Pelancongan kepada Rakyat dan Negara

Langkah-langkah Memupuk Semangat Kejiranan