Faktor-faktor Semangat Kejiranan Semakin Luntur


Dalam menongkah arus pemodenan yang deras ini, semangat kejiranan dalam kalangan masyarakat di negara kita semakin luntur. Isu ini sering menjadi polemik dalam kalangan masyarakat majmuk. Persoalannya kini, apakah faktor-faktor kelunturan semangat kejiranan dalam kalangan masyarakat pada hari ini? Hakikatnya, jiran merupakan sebahagian dalam kehidupan kita. Sehubungan dengan itu, marilah kita rungkai satu demi satu faktor yang menyebabkan semangat kejiranan semakin luntur dalam kalangan masyarakat di Malaysia. 
    Kalau tiada angin masakan pokok bergoyang, antara faktor yang menyebabkan semangat kejiranan semakin luntur ialah sikap individualistik yang semakin tebal dalam diri anggota masyarakat. Hal ini dikatakan demikian kerana, masyarakat kini khususnya generasi milenium hanya mengambil berat tentang hal masing-masing tanpa mempedulikan hubungan sesama jiran tetangga ibarat kata peribahasa, bagai enau dalam belukar melepaskan pucuk masing-masing. Justifikasinya, masyarakat milenium kurang membudayakan amalan kunjung-mengunjungi dalam kehidupan harian, sebaliknya mereka lebih selesa menjalani kehidupan seperti kera sumbang. Natijahnya, masyarakat tidak cakna tentang masalah yang menimpa jiran dan orang di sekeliling mereka. Misalnya, pecah rumah dan penderaan. Maka, jelaslah bahawa, sikap individualistik merupakan faktor yang menyumbang kepada kelunturan semangat kejiranan dalam kalangan masyarakat.
    Jika ditelusuri secara mendalam, semangat kejiranan semakin luntur berpunca daripada tahap pendidikan yang tinggi dalam kalangan masyarakat, terutamanya golongan muda. Hal ini jelas memaparkan peluang pendidikan di negara kita semakin meluas telah berjaya menghapuskan buta huruf  justeru meningkatkan daya pemikiran dan pengetahuan masyarakat. Bertitik tolak daripada itu, generasi milenium khususnya golongan yang berpendidikan tinggi bersikap ego dan lebih berdikari. Situasi ini menyebabkan perspektif  mereka terhadap kehidupan kian berubah dengan tanggapan bahawa mereka "lebih atas" daripada orang lain. Jelaslah bahawa, siang bagai hari, terang bagai bulan, tahap pendidikan yang tinggi telah mencetuskan revolusi mental dalam kalangan generasi muda sehingga mewujudkan jurang pemisah dalam masyarakat kini. 
    Melihat pada perspektif yang berbeza pula, perubahan gaya hidup masyarakat turut menjadi faktor penyumbang kepada kelunturan semangat kejiranan. Hal ini dikatakan demikian kerana, masyarakat era moden kini sibuk bekerja demi mengejar kejayaan dan kesenangan hidup. Sebagai evidensinya, warga kota meletakkan keutamaan pada karier dan lebih banyak menghabiskan masa di tempat kerja berbanding di rumah. Natijahnya, mereka menghadapi kekangan masa dan minat untuk berinteraksi dengan jiran tetangga, apatah lagi menyertai aktiviti kemasyarakatan. Oleh itu, tak tumbuh tak melata, tak sungguh orang tak kata, perubahan gaya hidup dalam kalangan masyarakat bandar mengakibatkan hubungan antara jiran tetangga menjadi renggang. 
    Menyingkap jendela fakta seterusnya, semangat kejiranan semakin luntur disebabkan oleh kemajuan teknologi maklumat dan komunikasi. Dalam konteks ini, perkembangan pesat teknologi digital telah mendorong anggota masyarakat menghabiskan masa di alam maya. Hal ini terbukti apabila World of Statistics mendedahkan  Malaysia merupakan negara ketiga teratas dunia yang mencecah kadar ketagihan penggunaan telefon pintar tertinggi dalam kalangan rakyat. Lantaran itu, ketaasuban terhadap teknologi digital mengakibatkan masyarakat Malaysia lemah dalam kemahiran komunikasi secara bersemuka. Tegasnya, perkembangan teknologi digital telah merevolusikan gaya hidup masyarakat dan mengakibatkan kehidupan berjiran tidak dapat dibentuk. 
    Sebagai penggulung segala yang dinyatakan di atas, terdapat pelbagai faktor yang menyebabkan semangat kejiranan semakin luntur dalam kalangan masyarakat. Sehubungan dengan itu, setiap lapisan masyarakat harus berganding bahu bagai aur dengan tebing untuk menjalinkan ikatan ukhuwah yang kukuh sesama jiran. Kita berharap semoga semangat kejiranan akan kekal subur dalam jiwa rakyat Malaysia demi menjamin kesejahteraan dan keharmonian hidup. Ingatlah bahawa, jiran sepakat membawa berkat.

 

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Manfaat-manfaat Semangat Kejiranan

Kepentingan Sektor Pelancongan kepada Rakyat dan Negara

Langkah-langkah Memupuk Semangat Kejiranan