Usaha-usaha menarik Minat Golongan Muda Menceburi Bidang Pertanian




Dalam menongkah arus modenisasi abad ke-21, bidang pertanian semakin tidak mendapat sambutan daripada generasi muda. Isu ini sering menjadi polemik dalam media massa. Menurut Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, golongan muda berpersepsi bahawa bidang pertanian memerlukan tenaga fizikal yang banyak dan tidak memberikan pulangan yang lumayan berbanding dengan kerjaya di dalam pejabat yang berhawa dingin. Persoalannya kini, bagaimanakah caranya untuk menarik minat generasi muda menceburi bidang pertanian? Sehubungan dengan itu, marilah kita rungkai satu demi satu peranan masyarkat untuk menjadikan bidang pertanian sebagai bidang pilihan anak muda.

    Pada hemat saya, ibu bapa perlu memainkan peranan prima dalam usaha menarik minat golongan muda untuk melibatkan diri dalam bidang pertanian. Hal ini dikatakan demkian kerana, ibu bapa merupakan insan yang terdekat dengan anak dan mampu mempengaruhi persepsi anak terhadap bidang pertanian. Sebagai contoh, ibu bapa boleh melakukan aktiviti berkebun bersama-sama anak pada setiap hari minggu. Tindakan ini dapat menanam minat berkebun dalam diri anak-anak sejak kecil lagi umpama peribahasa, melentur buluh biarlah dari rebungnya. Oleh itu, benarlah kata peribahasa Melayu, tak tumbuh tak melata, tak sungguh orang tak kata, ibu bapa memainkan peranan yang penting dalam menghapuskan stigma anak muda terhadap sektor pertanian. 

    Jika ditelusuri secara mendalam, pihak Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan perlu meyumbang kudrat dalam usaha memperkenalkan pertanian moden kepada generasi muda. Dalam konteks ini, Jabatan Pertanian dengan kerjasama syarikat swasta seyogia mengintegrasikan teknologi digital dalam sektor pertanian sejajar dengan revolusi perindustrian 4.0. Tamsilnya, penggunaan teknologi kecerdasan buatan (AI) dan Internet Benda (IoT) dalam sektor pertanian dan perladangan. Implikasinya, petani tidak perlu turun ke lapangan untuk menabur baja atau menyiram tanam-tanaman, sebaliknya mereka hanya perlu menggunakan telefon pintar sahaja. Maka, jelaslah bahawa, pihak kerajaan perlu memperkasakan  transformasi sektor pertanian secara digital untuk meningkatkan minat generasi muda dalam bidang pertanian. 

    Di samping itu, pihak Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan harus mengadakan kempen pertanian secara besar-besaran. Langkah ini membuka minda masyarakat terutamanya golongan muda terhadap prospek dalam industri pertanian. Sebagai contoh, pameran, ceramah, bengkel kemahiran pertanian dan tawaran insentif boleh diadakan sepanjang kempen tersebut. Hasil daripada galakan dan bimbingan daripada pihak pakar, nescaya anak muda akan menjadikan bidang pertanian sebagai bidang pilihan mereka. Tegasnya, kempen pertanian perlu dijalankan dari semasa ke semasa untuk memupuk minat generasi muda terhadap bidang pertanian. 

    Manhaj jitu seterusnya, pihak Kementerian Pendidikan perlu melaksanakan pendidikan pertanian dalam kurikulum. Hal ini dikatakan demikian kerana, pendidikan pertanian hanya ditawarkan di sesetengah sekolah menengah dan di peringkat kolej atau universiti sahaja. Sebagai contoh, pihak Kementerian Pendidikan sewajarnya melaksanakan pengajaran dan pembelajaran subjek Sains Pertanian di semua sekolah bermula di peringkat sekolah rendah. Kesan daripada inisiatif tersebut, golongan pelajar berpeluang untuk menimba ilmu pertanian dan menjalankan aktiviti pertanian secara praktikal sejak di bangku sekolah lagi. Intihanya, subjek Sains Pertanian wajar diperkenalkan di semua sekolah untuk menarik minat generasi muda berkecimpung dalam bidang pertanian.

    Akhirulkalam, terdapat pelbagai prakarsa yang sistematik dan pragmatik untuk menarik minat generasi muda untuk menceburi bidang pertanian. Sehubungan dengan itu, semua pihak yang terbabit sewajarnya berganding bahu bagai aur dengan tebing untuk melaksanakan peranan masing-masing. Kita berharap semoga stigma masyarakat terhadap kerjaya bidang pertanian akan berubah dan menyumbang kudrat demi memajukan industri pertanian negara. 

    

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Manfaat-manfaat Semangat Kejiranan

Kepentingan Sektor Pelancongan kepada Rakyat dan Negara

Langkah-langkah Memupuk Semangat Kejiranan