Langkah-langkah Memupuk Semangat Kejiranan

 


Dasawarsa ini, semangat kejiranan dalam kalangan masyarakat di negara kita semakin luntur. Isu ini sering terpampang di dada akhbar. Sesungguhnya, jiran merupakan orang yang paling dekat dengan kita. Persoalannya kini, apakah langkah-langkah untuk memupuk semangat kejiranan dalam kalangan masyarakat?

    Pada hemat saya, langkah perdana untuk memupuk semangat kejiranan adalah dengan menubuhkan rukun tetangga di taman-taman perumahan. Hal ini dikatakan demikian kerana, rukun tetangga bertanggungjawab untuk menguruskan hal-hal yang berkaitan dengan aktiviti kawasan kejiranan. Sebagai contoh, ahli-ahli rukun tetangga bergilir-gilir untuk meronda kawasan perumahan untuk mencegah berlakunya kecurian. Impaknya, semua penduduk taman perumahan akan mengambil bahagian dalam aktiviti rukun tetangga demi keselamatan komuniti setempat. Maka, jelaslah bahawa, penubuhan rukun tetangga dapat memupuk semangat kejiranan dalam kalangan masyarakat ibarat kata peribahasa, bulat air kerana pembetung, bulat manusia kerana muafakat.

   Selain itu, usaha untuk memupuk semangat kejiranan ialah pihak persatuan penduduk boleh menganjurkan aktiviti-aktiviti kemasyarakatan. Tamsilnya, aktiviti bergotong-royong membersihkan  kawasan perumahan. Dalam konteks ini, program gotong-royong bukan sahaja dapat menceriakan kawasan perumahan, malahan dapat mengeratkan hubungan silaturahim dalam kalangan masyarakat bagai serampang dua mata. Implikasinya, masyarakat dapat hidup dalam suasana yang bersih, sihat dan harmoni. Tegasnya, aktiviti kemasyarakat dapat menyuntik semangat kejiranan dalam sanubari masyarakat. 

       Di samping itu, langkah untuk memupuk semangat kejiranan ialah masyarakat boleh menganjurkan majlis rumah terbuka. Hal ini dikatakan demikian kerana, jiran tetangga akan dijemput untuk meraikan perayaan bersama-sama. Sebagai contoh, majlis rumah terbuka Aidilfitri. Impaknya, jiran tetangga  berpeluang untuk menyambut perayaan bersama-sama di samping mengenali budaya kaum-kaum lain umpama kata peribahasa, tak kenal maka tak cinta. Oleh itu, benarlah bahawa, amalan rumah terbuka dapat memupuk semangat kejiranan dalam kalangan masyarakat majmuk. 

    Kesimpulannya, terdapat pelbagai langkah untuk memupuk semangat kejiranan dalam kalangan masyarakat. Oleh itu, semua lapisan masyarakat harus mempraktikkan langkah-langkah tersebut dalam kehidupan seharian. Kita berharap semoga dapat melahirkan masyarakat bermuafakat. Ingatlah bahawa, jiran sepakat membawa berkat. 

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Manfaat-manfaat Semangat Kejiranan

Kepentingan Sektor Pelancongan kepada Rakyat dan Negara