Manfaat-manfaat Semangat Kejiranan

 


Dasawarsa ini, semangat kejiranan dalam kalangan masyarakat di negara kita semakin luntur. Isu ini sering terpampang di dada akhbar. Sesungguhnya, jiran merupakan orang yang paling dekat dengan kita. Persoalannya kini, apakah manfaat-manfaat semangat kejiranan?

    Antara kebaikan semangat kejiranan ialah kita dapat menjamin keamanan dan kesejahteraan hidup. Hal ini dikatakan demikian kerana, jiran tetangga akan saling membantu dan hormat-menghormati dalam menjalani kehidupan. Misalnya, jiran boleh membantu kita apabila berlaku hal kecemasan kerana merekalah yang tinggal paling dekat dengan kita. Impaknya, masalah kita dapat diatasi dengan lebih baik. Maka, benarlah bahawa, semangat kejiranan penting untuk menjamin ketenteraman dan kesejahteraan masyarakat.

    Selain itu, semangat kejiranan penting untuk melahirkan masyarakat yang bersatu padu. Dalam konteks ini, penduduk setempat akan berganding bahu ibarat peribahasa, berat sama dipikul, ringan sama dijinjing untuk menyelesaikan sesuatu masalah demi kepentingan bersama. Sebagai contoh, penduduk mengadakan aktiviti gotong-royong untuk membersihkan kawasan perumahan. Implikasinya, sikap mementingkan diri seperti enau dalam belukar, melepaskan pucuk masing-masing dapat dihindari. Tegasnya, amalan hidup berjiran dapat membangkitkan semangat perpaduan dalam kalangan masyarakat berbilang kaum.

    Di samping itu, semangat kejiranan dapat mengurangkan masalah jenayah. Hal ini dikatakan demikian kerana, penduduk setempat akan menubuhkan rukun tetangga untuk menguruskan hal-hal berkaitan dengan taman perumahan. Misalnya, ahli-ahli rukun tetangga bergilir-gilir untuk meronda kawasan perumahan pada waktu malam. Natijahnya, isu kecurian dapat diatasi dan keselamatan tempat kediaman lebih terjamin. Jelaslah bahawa, semangat kejiranan dapat mencegah masalah jenayah di kawasan perumahan. 

    Akhirulkalam, semangat kejiranan memberikan banyak kemaslahatan kepada masyarakat. Sehubungan dengan itu, masyarakat perlu mempraktikkan amalan hidup berjiran dalam kehidupan seharian. Kita berharap semoga dapat mewujudkan masyarakat yang aman, harmoni dan sejahtera. Ingatlah bahawa, jiran sepakat membawa berkat. 


Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Kepentingan Sektor Pelancongan kepada Rakyat dan Negara

Langkah-langkah Memupuk Semangat Kejiranan