Usaha-usaha Membudayakan Sukan dalam Kehidupan Masyarakat Malaysia


Dalam era ledakan teknologi maklumat ini, budaya bersukan dalam kalangan masyarakat semakin luntur. Isu ini sering terpampang di dada akhbar. Menurut Menteri Belia dan Sukan, tahap kesedaran masyarakat tentang kepentingan bersukan masih rendah. Persoalannya kini, apakah usaha-usaha yang boleh dilakukan untuk membudayakan sukan dalam kehidupan masyarakat Malaysia?

    Pada hemat saya, prakarsa perdana untuk membudayakan sukan dalam kehidupan masyarakat Malaysia perlu bermula di bangku sekolah lagi. Dalam konteks ini, pihak sekolah perlu melaksanakan Dasar Satu Murid Satu Sukan dengan tegasnya. Menerusi dasar tersebut, setiap murid diwajibkan menyertai kelab sukan di sekolah. Tamsilnya, Kelab Badminton, Kelab Ping Pong dan Kelab Hoki. Impaknya, murid akan berpeluang  melibatkan diri dalam aktiviti sukan untuk memupuk minat bersukan ibarat kata peribahasa, tak kenal maka tak cinta. Maka, jelaslah bahawa, budaya bersukan perlu dipupuk sejak di bangku sekolah lagi seperti kata peribahasa, melentur buluh biarlah dari rebungnya.

    Selain itu, prakarsa yang tidak boleh dikesampingkan ialah pihak penguat kuasa tempatan harus memperbanyak prasarana sukan di taman-taman rekreasi. Tamsilnya, trek joging, padang, peralatan senaman kecergasan dan trek basikal. Langkah ini dapat membangkitkan semangat masyarakat untuk melakukan aktiviti sukan. Kesan daripada usaha ini, masyarakat dapat melakukan pelbagai aktiviti sukan dengan lebih mudah dan selamat. Tegasnya, pihak berkuasa tempatan perlu memperbanyak prasarana sukan untuk memupuk minat bersukan dalam kalangan masyarakat. 

    Di samping itu, Kementerian Belia dan Sukan harus menganjurkan Hari Sukan Sedunia. Prakarsa ini penting untuk meningkatkan kesedaran dalam kalangan masyarakat khususnya generasi Z tentang kepentingan melakukan aktiviti sukan. Melalui program tersebut, pelbagai aktiviti seperti senamrobik, zumba, duathlon dan triathlon dapat menarik minat masyarakat bersukan. Implikasinya, penyakit kronik seperti penyakit jantung, diabetes, darah tinggi dan obesiti dapat dihindari. Hal ini bersesuaian dengan kata peribahasa, mencegah lebih baik daripada mengubati. Sudah terang lagi bersuluh, program Hari Sukan Sedunia harus dianjurkan setiap tahun demi membuka minda masyarakat tentang kepentingan bersukan. 

    Meniti kodifikasi seterusnya, pihak sekolah harus mengadakan temasya sukan sekolah setiap tahun. Hal ini dikatakan demikian kerana, program ini bukan sahaja dapat melahirkan murid yang seimbang dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani, tetapi juga dapat mengasah bakat mereka sebagai atlet murid yang bakal mengharumkan nama negara di seantero dunia dalam bidang kesukanan.  Sebagai evidensinya, atlet gimnastik negara, Izzah Amzan. Hal ini bersesuaian dengan kata peribahasa, sambil menyelam minum air. Oleh itu, benarlah bahawa, pihak sekolah perlu memikul obligasi dominan dalam usaha membudayakan amalan bersukan dalam kalangan pelajar. 

    Akhirulkalam, terdapat pelbagai usaha yang pragmatik untuk membudayakan sukan dalam kehidupan masyarakat Malaysia. Sehubungan dengan itu, semua pihak harus menggembleng kudrat bagai aur dengan tebing untuk melaksanakan peranan masing-masing. Mudah-mudahan dengan iltizam yang padu dan nawaitu yang jitu, masyarakat akan lebih cakna tentang kepentingan bersukan dan membudayakan sukan dalam kehidupan seharian. Hakikatnya, rakyat sihat, negara maju.

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Manfaat-manfaat Semangat Kejiranan

Kepentingan Sektor Pelancongan kepada Rakyat dan Negara

Langkah-langkah Memupuk Semangat Kejiranan