Kepentingan Teknologi Maklumat kepada Golongan Remaja


Pada era globalisasi ini, perkembangan teknologi maklumat semakin pesat dan meluas seperti cendawan tumbuh selepas hujan. Topik ini sering diperkatakan oleh masyarakat. Persoalannya kini, apakah kepentingan teknologi maklumat kepada golongan remaja? 

    Pada hemat saya, kepentingan perdana teknologi maklumat ialah teknologi yang canggih ini dapat meningkatkan pengetahuan dalam kalangan remaja. Hal ini dikatakan demikian kerana, hampir setiap remaja memiliki peranti elektronik pada masa kini. Misalnya, remaja boleh melayari Internet untuk mengetahui perkembangan semasa di seantero dunia dalam masa yang singkat. Impaknya, remaja tidak akan menjadi seperti katak di bawah tempurung. Maka, jelaslah bahawa, teknologi maklumat dapat melahirkan masyarakat yang berpengetahuan luas dan berminda kelas pertama.

    Selain itu, teknologi maklumat penting untuk memudahkan remaja dalam pembelajaran di sekolah. Hal ini dikatakan demikian kerana, kecanggihan teknologi maklumat membolehkan remaja belajar secara dalam talian melalui aplikasi Google Classroom. Justifikasinya, remaja terpaksa belajar secara dalam talian di rumah semasa penyakit COVID-19 melanda dunia. Impaknya, remaja tetap dapat mengikuti pengajaran di sekolah dan di kelas tambahan semasa Perintah Kawalan Pergerakan dilaksanakan. Oleh itu, benarlah bahawa, teknologi maklumat penting sebagai alat komunikasi masyarakat global.

    Di samping itu, penggunaan teknologi maklumat dapat menambahkan pendapatan dan meningkatkan kemahiran remaja. Hal ini dikatakan demikian kerana, remaja dapat menceburi bidang perniagaan secara dalam talian melalui penggunaan teknologi maklumat. Tamsilnya, remaja boleh mempromosikan hasil kraf tangan melalui aplikasi Tik Tok atau Shoppe untuk menjana pendapatan sampingan. Implikasinya, remaja dapat melibatkan diri dalam bidang keusahawanan, di samping meringankan beban keluarga ibarat peribahasa Melayu, berkayuh sambil bertimba. Intihanya, remaja dapat menguasai dua bidang dalam masa yang sama, iaitu bidang teknologi dan perniagaan. 

    Kesimpulannya, penggunaan teknologi maklumat memberikan seribu satu kemaslahatan kepada remaja. Oleh itu, golongan remaja harus menguasai teknologi maklumat dan mamanfaatkan teknologi tersebut dalam kehidupan seharian. Kita berharap semoga dapat membentuk generasi muda yang celik teknologi untuk memimpin negara ke arah mencapai status negara maju. 

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Manfaat-manfaat Semangat Kejiranan

Kepentingan Sektor Pelancongan kepada Rakyat dan Negara

Langkah-langkah Memupuk Semangat Kejiranan