Faktor-faktor Menyebabkan Penyakit Kanser


Dalam menongkah arus modenisasi abad ke-21, kes kematian akibat kanser di Malaysia semakin kritikal. Topik kanser sering menjadi wacana ilmu perubatan di peringkat global. Persoalannya kini, apakah faktor-faktor yang menyebabkan penyakit kanser? Menurut Kementerian Kesihatan Malaysia, penyakit kanser merupakan penyebab kematian kedua tertinggi di dunia. Antara lima jenis kanser yang lazim di Malaysia ialah kanser hati, kanser payudara, kanser paru-paru, kanser kolorektal dan kanser nasofarinks. Sehubungan dengan itu, marilah kita rungkai satu demi satu faktor yang menyebabkan penyakit kanser agar pengetahuan kita bertambah tentang penyakit ini kerana jauh berjalan luas pandangan.

    Pada hemat saya, faktor prima menyebabkan penyakit kanser ialah tabiat suka merokok dalam kalangan masyarakat. Hal ini dikatakan demikian kerana, pembakaran tembakau dan bahan kimia di dalam rokok akan membebaskan asap yang berbahaya kepada kesihatan. Misalnya, hidrogen sianida, karbon monoksida dan ammonia. Impaknya, asap toksik dan nikotin boleh menjejaskan sistem pernafasan dan mengakibatkan perokok berisiko tinggi untuk menghidapi penyakit kanser paru-paru. Maka, jelaslah bahawa, pengambilan tembakau menjadi penyebab utama risiko kanser.

    Selain itu, penyakit kanser berpunca daripada tabiat pengambilan minuman beralkohol secara berlebihan. Hal ini realitinya menjelaskan bahawa, pengambilan minuman beralkohol secara berterusan dan berlebihan akan memberikan kesan buruk kepada organ badan seseorang.  Tamsilnya, organ hati berfungsi untuk melakukan detoksifikasi. Lantaran itu, sel-sel hati akan cedera dan rosak teruk jika alkohol diambil secara berlebihan. Maka, benarlah bahawa, pengambilan arak secara berterusan dan berlebihan menjadi faktor penyumbang kepada penyakit kanser.

    Di samping itu, amalan pemakanan turut menjadi penyumbang kepada penyakit kanser. Hal ini menjelaskan bahawa, masyarakat kurang mengambil sayur-sayuran dan buah-buahan dalam diet pemakanan seharian. Sebagai evidensinya, sayur-sayuran dan buah-buahan kaya dengan nutrien yang dapat mengurangkan kerosakan sel-sel dalam badan dan mencegah tindakan karsinogen dalam usus. Tamsilnya, sayur-sayuran hijau, pisang, epal dan nanas. Implikasinya, individu yang kurang mengambil sayur-sayur dan buah-buahan dalam diet seharian akan lebih berisiko menghidapi kanser kolorektal. Tegasnya, pengambilan sayur-sayuran dan buah-buahan amat penting untuk menghindari penyakit kanser bak kata peribahasa, mencegah lebih baik daripada mengubati. 

    Meniti kodifikasi seterusnya, penyakit kanser disebabkan oleh gaya hidup yang tidak sihat. Misalnya, masyarakat kurang melakukan aktiviti fizikal dalam kehidupan seharian. Hal ini dikatakan demikian kerana, masyarakat lebih cenderung menghabiskan masa untuk melayari media sosial, terutamanya selepas pandemik COVID-19. Impaknya, sistem imun badan masyarakat menjadi lemah dan lebih berisiko menghidapi kanser. Oleh itu, benarlah kata peribahasa, tak tumbuh tak melata, tak sungguh orang tak kata, amalan gaya hidup yang tidak sihat akan meningkatkan risiko kanser. 

    Sebagai penutup bingkisan bicara, terdapat pelbagai faktor yang menyebabkan penyakit kanser dalam kalangan masyarakat Malaysia. Sehubungan dengan itu, masyarakat perlu mengamalkan amalan gaya hidup yang sihat dan sentiasa peka terhadap punca penyakit kanser demi menghindari penyakit tanpa penawar ini. Kita berharap semoga masyarakat akan lebih cakna terhadap kepentingan menjaga kesihatan dan mencapai kesihatan yang optimum. Ingatlah bahawa, rakyat sihat, negara makmur.

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Manfaat-manfaat Semangat Kejiranan

Kepentingan Sektor Pelancongan kepada Rakyat dan Negara

Langkah-langkah Memupuk Semangat Kejiranan