Kepentingan Sektor Pelancongan kepada Rakyat dan Negara


Pada era globalisasi ini, Kempen Cuti-cuti Malaysia begitu giat dijalankan oleh pihak kerajaan bagi merancakkan industri pelancongan negara terutamanya selepas penularan COVID-19. Kempen ini sering disiarkan dalam media massa. Persoalannya kini, apakah kepentingan sektor pelancongan kepada rakyat dan negara? Sehubungan dengan itu, marilah kita rungkai satu demi satu kepentingan sektor pelancongan negara agar pengetahuan kita bertambah tentang perkara ini bak kata pepatah, jauh berjalan luas pandangan.

    Pada hemat saya, kepentingan prima sektor pelancongan ialah sektor ini dapat menjana iktisad negara. Hal ini dikatakan demikian kerana, pelancong akan berbelanja semasa melancong ke sesuatu destinasi pelancongan. Tamsilnya, pelancong asing akan menukar mata wang mereka kepada mata wang ringgit untuk berbelanja di negara kita seperti membayar kos penginapan dan membeli cenderatamata. Impaknya, ekonomi negara akan berkembang dan nilai ringgit akan meningkat. Maka, jelaslah bahawa, sektor pelancongan dapat menyumbang kepada pembangunan ekonomi negara. 
    Jika ditelusuri secara mendalam, sektor pelancongan negara penting untuk memajukan bidang perniagaan. Misalnya, bidang perhotelan, inap desa, restoran dan perusahaan kraf tangan. Hal ini realitinya menjelaskan bahawa, pelancong memerlukan tempat penginapan, perkhidmatan pengangkutan, perkhidmatan pelancongan dan makan minum sepanjang tempoh pelancongan. Implikasinya, bidang perniagaan tempatan dapat diperluas dan dipelbagaikan. Benarlah kata peribahasa, tak tumbuh tak melata, tak sungguh orang tak kata, sektor pelancongan akan membuka peluang kepada masyarakat tempatan untuk menceburi bidang perniagaan. 
    Di samping itu, sektor pelancongan dapat mewujudkan peluang pekerjaan kepada penduduk tempatan. Hal ini dikatakan demikian kerana, sektor pelancongan memerlukan tenaga pekerja yang banyak. Sebagai contoh, jurupandu pelancong, pekerja hotel, pemandu, pengusaha makanan dan pekedai cenderamata. Natijahnya, masyarakat tempatan dapat menjalani kehidupan yang lebih baik dan stabil. Tegasnya, sektor pelancongan memainkan peranan penting dalam meningkatkan taraf hidup masyarakat.
    Tidak dapat disangkalkan jua, sektor pelancongan memperkenalkan Malaysia di persada dunia. Hal ini dikatakan demikian kerana, ramai pelancong menjejak kaki ke Malaysia kerana tertarik oleh  keistimewaan Malaysia yang kaya dengan khazanah alam semula jadi dan rakyat yang berbilang kaum. Contohnya, kaum Melayu, Cina dan India mengamalkan cara hidup dan adat resam yang berlainan. Impaknya, Malaysia menjadi tumpuan negara di seantero dunia. Sudah terang lagi bersuluh bahawa, sektor pelancongan menjadikan Malaysia popular di mata dunia sebagai sebuah negara yang unik.  
    Akhirulkalam, sektor pelancongan negara memberikan pelbagai kemaslahatan kepada rakyat dan negara. Sehubungan dengan itu, semua pihak harus berganding bahu bagai aur dengan tebing untuk memajukan industri pelancongan di negara kita seperti kata peribahasa, tak kenal maka tak cinta. Kita berharap semoga sektor pelancongan dapat memberikan pulangan yang maksimum kepada rakyat dan negara. Hakikatnya, sektor pelancongan penjana ekonomi negara.

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Manfaat-manfaat Semangat Kejiranan

Langkah-langkah Memupuk Semangat Kejiranan