Kebaikan-kebaikan Menyertai Kegiatan Kokurikulum




Aktiviti kokurikulum merupakan aktiviti yang dijalankan oleh murid-murid di luar bilik darjah selepas waktu persekolahan. Contohnya, pasukan unit beruniform, persatuan dan kelab sukan. Persoalannya kini, apakah kebaikan-kebaikan menyertai aktiviti kokurikulum di sekolah? 

    Antara kebaikan menyertai aktiviti kokurikulum ialah murid-murid dapat menambahkan ilmu pengetahuan. Sebagai contoh, murid dapat mempelajari cara-cara mendirikan khemah dan menggunakan kompas apabila menyertai pasukan pengakap. Impaknya, murid tidak akan menjadi seperti katak di bawah tempurung. Maka, jelaslah bahawa,  aktiviti kokurikulum dapat menambahkan pengetahuan murid-murid. 

    Selain itu, kegiatan kokurikulum dapat mengisi masa lapang murid-murid dengan berfaedah. Hal ini dikatakan demikian kerana, murid-murid akan menjalankan aktiviti kokurikulum di sekolah selepas waktu persekolahan. Tamsilnya, murid  menjalani latihan sukan di padang. Impaknya, murid dapat mengekalkan kesihatan diri, di samping menghindari gejala sosial bagai serampang dua mata. Ternyata benarlah bahawa, aktiviti kokurikulum dapat mengisi masa lapang murid dengan berfaedah seperti kata mutiara, masa itu emas. 

    Di samping itu, aktiviti kokurikulum dapat memupuk semangat perpaduan dalam kalangan murid. Hal ini dikatakan demikian kerana, ahli-ahli persatuan terdiri daripada murid yang berlainan kaum dan agama. Misalnya, kaum Melayu, Cina dan India. Impaknya, murid-murid berpeluang untuk berinteraksi dan saling memahami semasa menjalankan aktiviti bersama-sama. Tegasnya, aktiviti kokurikulum dapat memupuk semangat perpaduan dalam kalangan murid ibarat kata peribahasa, bersatu teguh, bercerai roboh. 

    Akhirulkalam, aktiviti kokurikulum banyak membawa kebaikan kepada murid-murid. Sehubungan dengan itu, semua pihak harus bekerjasama bagai aur dengan tebing untuk menggalakkan murid-murid menyertai kegiatan kokurikulum di sekolah. Kita berharap semoga dapat melahirkan generasi yang cemerlang bak kata peribahasa, pemuda harapan bangsa, pemudi tiang negara. 

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Manfaat-manfaat Semangat Kejiranan

Kepentingan Sektor Pelancongan kepada Rakyat dan Negara

Langkah-langkah Memupuk Semangat Kejiranan