Kepentingan-kepentingan Semangat Patriotisme kepada Remaja

 


Hikayat lama si anak jati,

sanggup korbankan jiwa dan raga;

semangat patriotik menebal di hati,

daulat negara kekal terjaga.

Pantun di atas jelas menunjukkan perasaan cinta akan negara harus ditanam dalam jiwa setiap warganegara Malaysia agar kedaulatan negara kekal terpelihara. Umum mengetahui bahawa Malaysia merupakan sebuah negara yang unik kerana rakyatnya terdiri daripada pelbagai kaum dan agama. Pelbagai kemajuan telah berjaya kita kecapi semenjak 67 tahun mencapai kemerdekaan. Lantaran itu, semangat patriotisme menjadi sebahagian daripada nilai murni yang perlu dihayati oleh setiap anak jati Malaysia terutamanya generasi Z yang bakal menerajui negara agar kemakmuran negara dapat terus dikecapi.  Sehubungan dengan itu, marilah kita rungkai satu demi satu kepentingan semangat patriotik kepada golongan remaja.

    Pada hemat saya, semangat patriotisme penting kepada golongan remaja sebagai nadi kepada kebebasan, kemerdekaan, kestabilan dan kemajuan negara. Dalam konteks ini, golongan remaja merupakan modal insan yang bakal menentukan hala tuju negara. Lantaran itu, semangat patriotik adalah penting untuk menerbitkan perasaan ingin membebaskan diri daripada cengkaman kuasa asing dalam jiwa remaja kerana mereka tidak pernah mengalami kesengsaraan dan keperitan hidup semasa zaman penjajahan. Dengan semangat patriotisme yang menebal dalam hati, nescaya generasi pascamerdeka ini akan meneruskan perjuangan generasi terdahulu dalam mempertahankan maruah, maruah dan martabat bangsa serta kedaulatan negara. Golongan remaja akan berusaha dengan semangat yang waja untuk memperkukuh kestabilan dan kemajuan negara agar berdaya saing dengan negara-negara gergasi di dunia umpama peribahasa duduk sama rendah, berdiri sama tinggi bagi mengekalkan keamanan dan kemakmuran negara. Benarlah kata peribahasa, tak tumbuh tak melata, tak sungguh orang tak kata, semangat patriotisme penting sebagai pemangkin kepada kebebasan, kedaulatan, kestabilan dan kemajuan negara. 

         Sudah terang lagi bersuluh, semangat patriotisme penting untuk membentuk generasi yang berhemah tinggi dan berakhlak mulia. Hal ini menjelaskan bahawa, remaja yang mempunyai perasaan cinta akan tanah air tidak akan melibatkan diri dalam anasir sosial yang boleh mencemarkan maruah diri, bangsa dan negara. Sebagai contoh, remaja yang cinta akan negara tidak akan membangkitkan isu sensitif yang boleh menggoyah keamanan negara dan keharmonian masyarakat. Sebaliknya, mereka akan mengambil iktibar daripada peristiwa hitam 13 Mei 1969 yang mengakibatkan pertumpahan darah antara kaum dan akhirnya merugikan semua pihak umpama peribahasa, kalah jadi abu, menang jadi arang. Kesan daripada semangat patriotisme yang menebal dalam hati, golongan remaja akan sentiasa mengingatkan diri untuk melakukan kebaikan dan menghindari segala kezaliman demi mencegah konflik dalam kalangan masyarakat majmuk. Tegasnya, semangat patriotisme penting untuk melahirkan generasi yang mengamalkan sahsiah terpuji.

        Jika ditelusuri secara mendalam, semangat patriotisme penting untuk memupuk perpaduan dalam kalangan masyarakat majmuk. Dalam konteks ini, semangat patriotisme dapat melahirkan remaja yang mengutamakan kepentingan negara berbanding dengan kepentingan diri. Perkara ini penting kerana negara kita terdiri daripada rakyat yang berbilang kaum dan agama. Misalnya, kaum Melayu, Cina, India. orang asli dan kaum-kaum peribumi di Sabah dan Sarawak. Seandainya semangat kekitaan yang kukuh terjalin dalam jiwa masyarakat, nescaya sikap prejudis terhadap kaum-kaum dapat dihindari. Pada masa yang sama, sikap saling menghormati dan bertoleransi dalam kehidupan seharian dapat dipupuk demi kesejahteraan hidup bersama. Intihanya, bergelanggang di mata orang banyak, semangat patriotisme penting sebagai kunci yang mengukuhkan perpaduan dalam kalangan rakyat pelbagai kaum persis kata peribahasa, bersatu teguh, bercerai roboh.  

        Melihat pada perspektif yang berbeza pula, semangat patriotisme penting bagi mengekalkan tradisi dan budaya masyarakat pelbagai kaum. Dalam konteks ini, semangat patriotisme akan mendorong  golongan remaja meninjau keunikan budaya dan tradisi setiap kaum yang membentuk negara Malaysia. Penghayatan nilai patriotisme membolehkan remaja memahami jasa dan pengorbanan setiap kaum dalam mempertahankan kedaulatan tanah air  di samping mengekalkan budaya dan adat resam nenek moyang. Implikasinya, remaja akan membina jati diri yang teguh demi membentuk tamadun yang lebih tinggi untuk generasi yang akan datang. Intihanya, semangat patriotisme amat penting dalam mengekalkan tradisi dan budaya kaum-kaum di Malaysia agar tidak luput ditelan zaman umpama peribahasa, tak lapuk dek hujan, tak lekang dek panas. 

        Akhirulkalam, semangat patriotisme memberikan pelbagai kemaslahatan kepada rakyat terutamanya golongan remaja. Sehubungan dengan itu, semua pihak perlu memikul obligasi untuk menanam perasaan cinta akan negara dalam diri remaja sejak kecil lagi ibarat kata peribahasa melentur buluh biarlah dari rebungnya. Remaja sewajarnya sedar bahawa hujan emas di negeri orang, hujan batu di negeri sendiri; lebih baik di negeri sendiri. Mudah-mudahan dengan iltizam yang padu dan nawaitu yang jitu, remaja akan cakna tentang kepentingan memupuk semangat patriotisme kerana golongan inilah yang bakal menerajui negara ke arah mencapai gagasan Malaysia MADANI seperti yang dihasratkan oleh kerajaan. Hakikatnya, pemuda harapan bangsa, pemudi tiang negara.

    

Comments

Popular posts from this blog

Usaha-usaha menarik Minat Golongan Muda Menceburi Bidang Pertanian

Langkah-Langkah Memupuk Amalan Menabung

Kepentingan Sektor Pelancongan kepada Rakyat dan Negara