Langkah-langkah Mengurangkan Kadar Penyakit Diabetes


           Dasawarsa ini, penyakit diabetes semakin menular dalam kalangan rakyat Malaysia. Berdasarkan laporan statistik Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), hampir 18% daripada populasi dewasa di negara ini menghidapi penyakit tersebut. Fenomena ini menjadikan Malaysia antara negara dengan kadar diabetes tertinggi di Asia Tenggara. Keadaan ini perlu dipandang serius kerana boleh menjejaskan kualiti hidup rakyat jika dibiarkan berterusan. Persoalannya kini, bagaimanakah caranya untuk mengatasi isu penyakit diabetes? Sehubungan dengan itu, marilah kita rungkai satu demi satu langkah mujarab yang boleh diambil untuk mengurangkan kadar penyakit diabetes dalam kalangan rakyat Malaysia sebelum kudis menjadi tokak.

      Pada hemat saya, langkah prima untuk mengurangkan kadar penyakit diabetes ialah masyarakat perlu membudayakan gaya hidup aktif dalam kehidupan seharian. Hal ini dikatakan demikian kerana amalan gaya hidup aktif penting untuk menyumbang kepada penurunan kandungan gula dalam darah. Oleh itu, pihak Kementerian Kesihatan Malaysia boleh memperkenalkan Program Jom Sihat di seantero negara untuk menggalakkan rakyat mengamalkan gaya hidup yang lebih cergas dan aktif. Implikasinya, risiko menghidapi penyakit diabetes dapat dikurangkan secara drastik sekali gus mengurangkan kos perubatan yang perlu ditanggung oleh pesakit diabetes bagai serampang dua mata. Maka, jelaslah bahawa amalan gaya hidup aktif merupakan prakarsa yang pragmatik bagi mengurangkan kadar penyakit diabetes dalam kalangan rakyat Malaysia. 

         Selain itu, langkah yang tidak boleh dikesampingkan ialah pembudayaan amalan pemakanan yang sihat dan seimbang. Hal ini dikatakan demikian kerana masih terdapat banyak rakyat Malaysia yang menggemari makanan tinggi gula dalam diet seharian. Sebagai contoh, pihak Kementerian Kesihatan Malaysia boleh menguar-uarkan Kempen Kurangkan Gula menerusi pengiklanan di platform media massa dan media sosial. Di samping itu, pihak kerajaan boleh melaksanakan dasar kawalan ke atas produk makanan yang tinggi kandungan gula secara holistik. Strategi ini penting bagi menggalakkan rakyat mengurangkan pengambilan gula dalam hidangan seharian. Kesan daripada usaha yang padu, rakyat akan lebih peka sewaktu memilih makanan lantas mengurangkan risiko penyakit diabetes. Tegasnya, pemakanan yang sihat dan seimbang merupakan elemen penting dalam usaha mengurangkan kadar penyakit diabetes dalam kalangan rakyat Malaysia. 

        Manhaj jitu seterusnya ialah masyarakat khususnya golongan dewasa harus menjalani pemeriksaan kesihatan secara berkala. Hal ini penting untuk mengesan tanda-tanda awal penyakit dan  membolehkan individu mendapatkan rawatan awal yang sewajarnya untuk mencegah penyakit daripada melarat. Tamsilnya, pihak hospital boleh melancarkan program pemeriksaan kesihatan secara percuma dengan lebih giat supaya mereka yang mempunyai sejarah keluarga diabetes dapat dikesan dengan lebih awal. Impaknya, rakyat Malaysia akan lebih cakna terhadap kesihatan diri dan berusaha untuk menghindarkan diri daripada penyakit diabetes.  Benarlah kata peribahasa, mencegah lebih baik daripada mengubati. 

        Tidak dapat dinafikan bahawa, kempen kesedaran merupakan alternatif untuk mengurangkan kadar penyakit diabetes dalam kalangan rakyat Malaysia. Program ini penting untuk meningkatkan kesedaran rakyat tentang punca dan simptom penyakit diabetes. Misalnya, pihak kerajaan melancarkan Kempen Kurang Gula Kurang Harga dan Hari Diabetes Sedunia secara besar-besaran di seluruh negara.  Kempen tersebut perlu dianjurkan dari semasa ke semasa agar rakyat celik diabetes. Sebagai kesan, rakyat akan terdorong untuk membudayakan gaya hidup yang sihat dan mengurangkan pengambilan makanan dan minuman yang manis. Jelaslah bahawa kempen kesedaran merupakan langkah preventif yang mujarab untuk menangani isu diabetes dalam kalangan rakyat Malaysia. 

        Akhirulkalam, terdapat beberapa langkah yang pragmatik untuk mengurangkan kadar penyakit diabetes dalam kalangan rakyat Malaysia . Meskipun begitu, semua pihak haruslah menggembleng kudrat bagai aur dengan tebing untuk mengurangkan kadar penyakit diabetes ke tahap yang paling minimum. Mudah-mudahan dengan pelaksanaan langkah-langkah tersebut, kita dapat melahirkan masyarakat yang mementingkan kesihatan diri demi kelangsungan hidup yang sejahtera. Ingatlah bahawa, Rakyat Sihat Negara Maju.

Comments

Popular posts from this blog

Usaha-usaha menarik Minat Golongan Muda Menceburi Bidang Pertanian

Kepentingan Sektor Pelancongan kepada Rakyat dan Negara

Usaha-usaha Mengatasi Masalah Buli dalam Kalangan Pelajar