Usaha-usaha Memajukan Industri Pelancongan di Malaysia


        Malaysia ialah negara yang terkenal di seantero dunia kerana negara ini bukan sahaja mempunyai khazanah alam semula jadi yang menawan seperti gugusan pulau, pantai dan hutan belantara, tetapi juga mempunyai kepelbagaian budaya yang kaya dengan pelbagai suku kaun, bahasa, makanan serta adat istiadat yang menarik dan unik. Saban tahun, banyak wistawan mancanegara berkunjung ke Malaysia. Namun, industri pelancongan di Malaysia teruk terjejas akibat penularan virus COVID-19 yang melanda dunia. Lantaran itu, pelbagai langkah proaktif harus diambil oleh pihak kerajaan untuk memulihkan industri pelancongan negara. Persoalannya kini, apakah usaha-usaha untuk memajukan industri pelancongan? Sehubungan dengan itu, marilah kita rungkai satu demi satu usaha untuk memajukan industri pelancongan di Malaysia agar pengetahuan kita bertambah tentang topik tersebut kerana jauh berjalan luas pandangan.

    Langkah perdana yang wajar dilaksanakan oleh pihak kerajaan untuk memajukan industri pelancongan adalah dengan memperluas promosi pelancongan. Langkah ini penting untuk memperkenalkan destinasi pelancongan dan kebudayaan Malaysia kepada warga global. Sebagai contoh, Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya menganjurkan Karnival Cuti-cuti Malaysia secara besar-besaran di peringkat antarabangsa. Pada masa yang sama, promosi pelancongan turut diuar-uarkan oleh selebriti terkenal di platform media sosial seperti Instagram dan Facebook. Implikasinya, kita dapat menarik perhatian pelancong asing ke negara kita di samping menggalakkan rakyat melancong di dalam negara. Jelaslah bahawa, promosi pelancongan wajar dianjurkan dari semasa ke semasa untuk memajukan industri pelancongan negara dan bukannya bersifat hangat-hangat tahi ayam sahaja.

    Seterusnya, mari kita lebarkan lensa perbincangan dengan menyentuh aspek kebersihan dan kemudahan prasarana awam. Dalam konteks ini, pihak kerajaan harus meningkatkan tahap kebersihan dan kualiti kemudahan prasarana awam. Tindakan ini penting untuk menjamin keselesaan pelancong semasa melancong di negara kita. Tamsilnya, pihak berkuasa tempat harus mewujudkan tandas awam yang bertaraf BMW, iaitu bersih, menawan dan wangi. Di samping itu, Kementerian Pengangkutan perlu meningkatkan mutu perkhidmatan pengangkutan awam seperti perkhidmatan LRT agar pelancong sampai ke destinasi mereka dengan mudah dan cepat. Nescaya kemudahan tersebut akan memberikan nilai tambah kepada pelancong untuk kembali bercuti di Malaysia. Tegasnya, usaha meningkatkan tahap kebersihan dan kemudahan prasarana awam bukan sahaja meningkatkan imej negara, bahkan juga meningkatkan kualiti hidup rakyat umpama peribahasa, belayar sambil memapan, merapat sambil belayar. 

        Manhaj jitu seterusnya ialah pihak kerajaan harus membangunkan produk pelancongan. Prakarsa ini dapat menawarkan pilihan yang pelbagai kepada pelancong asing mahupun pelancong domestik. Sebagai contoh, produk inap desa menawarkan penginapan eco yang mesra alam dan pelbagai aktiviti rekreasi yang berfokuskan kelestarian alam kepada wisatawan. Konsep inap desa boleh menjadi daya tarikan pelancong untuk menimba pengalaman yang autentik di samping memelihara warisan semula jadi yang tidak ternilai. Intihanya, bergelanggang di mata orang banyak, pembangunan produk pelancongan yang baharu merupakan prakarsa yang pragmatik untuk memajukan industri pelancongan negara kita.

        Meniti kodifikasi seterusnya, marilah kita memperluas lensa perbincangan dengan memperkatakan tahap keselamatan negara perlu diperkukuh. Usaha ini penting bagi menjamin keselamatan wisatawan mancanegara sepanjang masa mereka berada di negara kita. Tamsilnya, penambahan bilangan anggota keselamatan dan pemasangan kamera litar tertutup di kawasan tumpuan pelancong bagi mencegah kejadian ragut, penculikan dan rompakan. Natijahnya, pelancong akan lebih yakin untuk menjejak kaki ke Malaysia. Oleh itu, sudah terang lagi bersuluh, aspek keselamatan harus dititikberatkan dalam usaha memajukan industri pelancongan negara.

        Akhirulkalam, pelbagai inisiatif boleh dilaksanakan bagi memajukan industri pelancongan negara. Meskipun begitu, pihak kerajaan, agensi pelancongan swasta dan seluruh masyarakat harus menggembleng kudrat bagai aur dengan tebing supaya wujud sinergi yang padu untuk membangunkan sektor pelancongan. Mudah-mudahan dengan pelaksanaan langkah-langkah ini, kita mampu memperkasakan industri pelancongan sekali gus memacu pertumbuhan iktisad negara. Walaupun Malaysia negara cili padi yang sedang membangun, namun keunikan dan keistimewaan negara ini menjadi kelebihan untuk bersaing di persada dunia umpama peribahasa, duduk sama rendah, berdiri sama tinggi. Ingatlah, hujan emas di negara orang, hujan batu di negara sendiri, lebih baik di negara sendiri. 


Comments

Popular posts from this blog

Usaha-usaha menarik Minat Golongan Muda Menceburi Bidang Pertanian

Langkah-Langkah Memupuk Amalan Menabung

Kepentingan Sektor Pelancongan kepada Rakyat dan Negara