Usaha-usaha Meningkatkan Pelibatan Rakyat Malaysia dalam aktiviti Sukan
Dasawarsa ini, pelibatan rakyat dalam aktiviti sukan telah memperlihatkan penurunan yang ketara. Berdasarkan kajian oleh Institusi Penyelidikan Sukan Negara (ISN), hanya 35% rakyat Malaysia terlibat dalam aktiviti sukan secara berkala. Senario ini tidak harus dipandang remeh kerana boleh mengundang masalah kesihatan yang serius termasuklah penyakit kronik seperti diabetes, darah tinggi dan penyakit kardiovaskular. Sesungguhnya, individu yang aktif dalam sukan dapat mengekalkan kesihatan fizikal dan mental yang optimum. Persoalannya kini, bagaimanakah pelibatan rakyat dalam aktiviti sukan dapat ditingkatkan? Sehubungan dengan itu, marilah kita rungkai satu demi satu prakarsa untuk meningkatkan pelibatan rakyat dalam aktiviti sukan.
Usaha prima yang boleh dilakukan untuk meningkatkan pelibatan rakyat Malaysia dalam aktiviti sukan ialah Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) harus memperbanyak prasarana sukan yang mesra pengguna di kawasan-kawasan awam. Langkah ini dapat memberikan kemudahan kepada komuniti setempat untuk mengakses infrastruktur sukan. Hal ini dikatakan demikian kerana taman-taman awam dan gelanggang sukan yang rosak atau kurang selamat akan menjejaskan motivasi rakyat untuk aktif bersukan. Sebagai contoh, pembinaan kemudahan sukan seperti gelanggang futsal dan kolam renang di seluruh negara akan menarik minat rakyat untuk kerap bersukan. Impaknya, rakyat akan lebih terdorong untuk melakukan aktiviti sukan bagi menghindari masalah kesihatan umpama peribahasa, mencegah lebih baik daripada mengubati. Tegasnya, penyediaan kemudahan sukan yang mencukupi merupakan langkah mujarab untuk meningkatkan pelibatan rakyat dalam aktiviti sukan.
Selain itu, usaha yang tidak boleh dikesampingkan ialah pihak majikan seyogianya menyelaraskan jadual kerja yang lebih fleksibel agar rakyat mempunyai masa untuk bersukan. Dalam konteks ini, waktu kerja yang panjang dan bebanan kerja yang kian meningkat saban hari menatijahkan pekerja kekurangan masa untuk bersukan. Tamsilnya, pihak kerajaan boleh memperkenalkan dasar waktu kerja yang lebih pendek atau menggalakkan majikan menyediakan program kecergasan di tempat kerja untuk pekerja. Langkah tersebut akan memberikan ruang kepada pekerja untuk bersukan selepas waktu kerja. Sementelahan, majikan turut memperoleh manfaat kerana pekerja yang sihat mampu meningkatkan produktiviti. Strategi ini dapat mencapai situasi sama menang kepada kedua-dua pihak. Oleh itu, sudah terang lagi bersuluh bahawa jadual kerja yang lebih anjal harus diimplementasikan untuk menggalakkan pelibatan rakyat dalam aktiviti sukan.
Manhaj jitu seterusnya ialah pihak kerajaan harus mempergiat kempen kesedaran untuk menjana gelombang kesedaran rakyat tentang kepentingan bersukan. Hal ini dikatakan demikian kerana masih terdapat segelintir rakyat yang kurang cakna tentang kemaslahatan amalan bersukan dalam kehidupan seharian. Dalam konteks ini, Kementerian Belia dan Sukan Malaysia boleh menganjurkan Kempen Jom Sukan dan Hari Sukan Negara secara besar-besaran di seantero negara. Kesan daripada inisiatif tersebut, kecenderungan rakyat untuk bersukan akan dapat dibangkitkan umpama peribahasa, tak kenal maka tak cinta. Kesedaran yang tinggi tentang kepentingan bersukan akan menganjak paradigma rakyat untuk mempraktikkan gaya hidup sihat seperti yang dihasratkan oleh kerajaan MADANI. Benarlah bahawa, penganjuran kempen kesedaran merupakan prakarsa yang pragmatik untuk meningkatkan pelibatan rakyat dalam aktiviti sukan.
Melihat pada perspektif yang berbeza pula, ibu bapa harus menjadikan amalan bersukan sebagai budaya keluarga. Hal ini dikatakan demikian kerana ibu bapa merupakan insan yang paling dekat dengan anak dan mampu menyuntik amalan yang baik dalam diri anak ibarat peribahasa, bagaimana acuan, begitulah kuihnya. Sebagai contoh, ibu bapa harus meluangkan masa untuk melakukan aktiviti sukan bersama-sama anak. Di samping itu, ibu bapa juga boleh membelikan anak peralatan sukan seperti raket badminton atau bola keranjang untuk menggalakkan mereka bersukan. Implikasinya, golongan muda ini akan membudayakan amalan bersukan sejak kecil lagi bak kata peribahasa, melentur buluh biarlah dari rebungnya. Intihanya, bergelanggang di mata orang banyak, usaha meningkatkan pelibatan rakyat dalam aktiviti sukan mesti bermula daripada institusi keluarga.
Sebagai penggulung segala yang dinyatakan di atas, pelbagai usaha boleh dilakukan untuk meningkatkan pelibatan rakyat dalam aktiviti sukan. Sehubungan dengan itu, pihak kerajaan, majikan dan masyarakat secara keseluruhannya harus berganding bahu bagai aur dengan tebing untuk membudayakan amalan bersukan. Saya berharap agar pembudayaan amalan bersukan akan menjadi serampang dua mata yakni meningkatkan kualiti hidup rakyat di samping meringankan beban sistem kesihatan awam. Ingatlah bahawa, rakyat sihat, negara maju.
Comments
Post a Comment