Punca-punca Murid Ponteng Sekolah


         Kalau tiada angin masakan pokok bergoyang. Dasawarsa ini, kita sering mendengar omelan dari bibir ke bibir anggota masyarakat tentang masalah ponteng sekolah dalam kalangan murid di negara kita. Masalah ini menjadi semakin meruncing pada era pasca-COVID-19 melanda dunia. Senario ini nescaya akan mendatangkan impak yang besar terhadap pembentukan modal insan dan pembangunan negara jika dibiarkan berlarutan. Persoalannya kini, apakah punca-punca murid ponteng sekolah? Sehubungan dengan itu, marilah kita mengenal pasti sebab-musabab yang menjadi penyumbang kepada masalah ponteng sekolah sebelum kudis menjadi tokak.

        Pada hemat saya, punca perdana masalah ponteng sekolah dalam kalangan murid ialah pengaruh rakan sebaya yang negatif. Hal ini dikatakan demikian kerana murid-murid banyak menghabiskan masa bersama dengan rakan sebaya berbanding dengan ahli keluarga. Oleh itu, mereka yang berumur setahun jagung, darah setampuk pinang mudah terpengaruh oleh kata-kata rakan dan terikut-ikut perbuatan rakan agar tidak tersisih daripada kumpulan rakan tanpa memikirkan akibatnya pada masa depan. Sebagai contoh, murid-murid menghabiskan masa berpelesiran di pusat beli-belah atau di kafe siber bersama dengan rakan. Impaknya, mereka menjadi culas dan  cenderung menjalani gaya hidup hedonisme. Keadaan menjadi lebih parah tatkala murid-murid hilang fokus terhadap pelajaran dan matlamat hidup. Maka, benarlah kata peribahasa, tak tumbuh tak melata, tak sungguh orang tak kata, pengaruh rakan sebaya yang negatif menjadi faktor penyumbang utama kepada isu ponteng sekolah dalam kalangan murid. 

     Selain itu, punca masalah murid ponteng sekolah yang tidak boleh dikesampingkan ialah persekitaran sekolah yang kurang kondusif. Dalam konteks ini, suasana di sekolah yang tidak ceria dan kaedah pengajaran guru yang kurang menarik menyebabkan murid-murid berasa bosan dan tidak berminat untuk hadir ke sekolah. Tamsilnya, keadaan bilik darjah yang usang dan kekurangan bahan bantu mengajar yang interaktif menatijahkan murid-murid tidak mempunyai motivasi untuk belajar. Implikasinya, murid-murid yang gagal mengikuti pengajaran guru akan memilih untuk ponteng sekolah. Bertitik tolak daripada itu, mereka lebih cenderung mencari keseronokan di luar sekolah kerana berasa diri mereka bagai melukut di tepi gantang. Intihanya, bergelanggang di mata orang banyak, persekitaran sekolah yang kurang kondusif menyumbang kepada masalah ponteng sekolah dalam kalangan murid. 

            Jika ditelusuri secara mendalam, masalah kemiskinan turut mendorong murid ponteng sekolah. Hal ini realitinya menjelaskan bahawa murid-murid yang berasal daripada keluarga miskin tegar mungkin terpaksa membantu ibu bapa mencari nafkah bagi menyara hidup ibarat kata peribahasa, kais pagi makan pagi, kais petang makan petang. Sebagai contoh, murid membantu ibu bapa di pasar malam untuk meringankan beban mereka. Natijahnya, murid tidak mampu hadir ke sekolah pada keesokan harinya kerana keletihan. Maka, jelaslah bahawa faktor kemiskinan keluarga telah menyumbang kepada isu murid ponteng sekolah.

            Melihat pada perspektif yang berbeza pula, murid ponteng sekolah kerana mereka tidak berminat dalam bidang akademik. Hal ini dikatakan demikian kerana, sesetengah murid lebih cenderung dalam bidang-bidang lain seperti bidang seni, bidang muzik dan bidang kemahiran. Sebagai evidensinya, murid sanggup melakukan kerja-kerja di bengkel kereta milik ayahnya daripada menghadiri sekolah seperti rakan sebaya yang lain. Hal ini jelas menunjukkan bahawa murid tersebut mempunyai keyakinan dan minat yang mendalam dalam bidang kemahiran vokasional berbanding dengan bidang akademik. Lantaran itu, dia tidak cakna tentang kepentingan pencapaian akademik justeru kerap ponteng sekolah. Tegasnya, murid-murid tidak berminat untuk belajar dikenal pasti sebagai salah punca masalah ponteng sekolah.

                Sebagai penutup bingkisan bicara, terdapat pelbagai punca yang menatijahkan masalah ponteng sekolah dalam kalangan murid. Sehubungan dengan itu, semua pihak yang terbabit perlu mengambil tindakan yang proaktif dan pragmatik supaya wujud sinergi yang kukuh bagi mengatasi pokok pangkal isu ini, iaitu pemantauan terhadap pergaulan anak, pemantapan fungsi sekolah secara holistik dan pembasmian kemiskinan kaum marhaen. Mudah-mudahan dengan iltizam yang padu dan nawaitu yang jitu, kita dapat membendung gejala murid ponteng sekolah sehingga ke akar umbi demi melahirkan modal insan yang cemerlang umpama peribahasa, pemuda harapan bangsa, pemudi tiang negara. 

·  

Comments

Popular posts from this blog

Usaha-usaha menarik Minat Golongan Muda Menceburi Bidang Pertanian

Langkah-Langkah Memupuk Amalan Menabung

Kepentingan Sektor Pelancongan kepada Rakyat dan Negara