Cara-cara Menghargai Pengorbanan Ibu Bapa


Dalam menongkah arus pemodenan yang deras, isu peminggiran warga tua dalam kalangan masyarakat kita semakin meruncing. Isu tersebut sering menjadi polemik dalam wacana akademik. Menurut pakar motivasi, Dr. HM Tuah Iskandar, tanggungjawab terhadap ibu bapa tidak boleh dipandang rendah kerana membabitkan dua insan yang paling berharga dalam hidup kita. Persoalannya kini, bagaimanakah caranya menghargai pengorbanan warga tua? Sehubungan dengan itu, marilah kita rungkai satu demi satu cara-cara seseorang anak menghargai pengorbanan ibu bapa dalam kehidupan mereka agar pengetahuan kita bertambah tentang isu tersebut kerana jauh berjalan luas pandangan.
    Pada hemat saya, seseorang anak wajib menjaga kebajikan ibu bapa. Hal ini realitinya menjelaskan bahawa, seseorang anak wajar menjaga ibu bapa tatkala mereka sudah tua sebagaimana ibu bapa menjaga kita sejak kecil bagai menatang minyak yang penuh. Misalnya, anak sewajarnya menyediakan keperluan ibu bapa dan memberikan rawatan rapi kepada ibu bapa yang terlantar sakit. Tindakan tersebut akan membuatkan ibu bapa berasa dihargai dan disayangi. Maka, jelaslah bahawa, anak perlu memikul tanggungjawab untuk menjaga kebajikan ibu bapa apabila mereka tua kelak.
    Memetik wasitah nirmala seterusnya, seseorang anak mestilah menghormati ibu bapa. Hal ini dikatakan demikian kerana, ibu bapa merupakan akar tunjang  keluarga yang telah banyak makan garam dalam perjalanan hidup yang berliku-liku. Lantaran itu, kita sebagai anak harus mendengar nasihat dan pandangan ibu bapa dengan sabar walaupun pendapat mereka bercanggah dengan pandangan kita. Janganlah kita sesekali menderhaka kepada ibu bapa kerana perbuatan tersebut boleh melukai hati mereka. Impaknya, tanggapan 'jurang generasi' dalam keluarga dapat dihapuskan. Sudah terang lagikan bersuluh, sikap menghormati ibu bapa harus ditanam dalam sanubari anak demi merapatkan hubungan dengan ibu bapa. 
    Selain itu, seseorang anak harus membantu ibu bapa melakukan kerja di rumah. Hal ini disebabkan badan dan kudrat ibu bapa semakin hari semakin lemah. Oleh itu, anak harus kerap membantu ibu bapa mengemas rumah dan menyediakan makanan bak kata peribahasa, berat sama dipikul, ringan sama dijinjing. Implikasinya, hubungan mesra antara ibu bapa dengan anak akan terjalin erat. Justeru, ibu bapa dapat berehat dan menikmati kehidupan hari tua dengan sebaik-baiknya. Tegasnya, anak harus bersikap ringan tulang agar dapat meringankan beban ibu bapa.
    Tidak dapat disangkalkan jua, seseorang anak mestilah berusaha untuk mencapai kejayaan dalam hidup. Hal ini dikatakan demikian kerana, ibu bapa sanggup bergolok-bergadai demi memberikan segala yang terbaik buat anak. Oleh itu, anak sewajarnya belajar dengan bersungguh-sungguh untuk mencapai kecemerlangan dalam akademik dan seterusnya memperoleh kerjaya yang stabil. Hanya dengan cara inilah anak mampu memberikan kehidupan yang baik dan selesa kepada ibu bapa dan membuatkan mereka berasa bangga. Hakikatnya, kejayaan anak merupakan manhaj jitu untuk menggembirakan ibu bapa.
    Sebagai penutup bingkisan bicara, ibu bapa merupakan insan yang telah melahirkan dan membesarkan kita. Jasa dan pengorbanan mereka tidak dapat dinilai walaupun harta setinggi gunung. Oleh itu, kita sebagai anak mestilah menghargai ibu bapa dan membalas jasa mereka. Mudah-mudahan dengan nawaitu yang jitu, generasi muda akan lebih cakna terhadap ibu bapa sewaktu mereka masih hidup. Ingatlah bahawa, tanpa ibu bapa, siapalah kita.

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Manfaat-manfaat Semangat Kejiranan

Kepentingan Sektor Pelancongan kepada Rakyat dan Negara

Langkah-langkah Memupuk Semangat Kejiranan