Peranan-Peranan Ibu Bapa untuk Menjamin Kesihatan Mental Anak


Dalam menelusuri era globalisasi yang kian mencabar akal dan minda, isu kesihatan mental dalam kalangan kanak-kanak dan remaja semakin membimbangkan. Isu ini sering terpampang di dada akhbar. Persoalannya kini, siapakah yang harus dipertanggungjawabkan? Menurut kajian Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan 2019, sejumlah 424,000 orang kanak-kanak didapati bergelut dengan isu kesihatan mental. Hakikatnya, ibu bapa perlu lebih peka terhadap simptom-simptom gangguan kesihatan mental yang dialami oleh anak-anak. Sehubungan dengan itu, marilah kita rungkai satu demi satu peranan ibu bapa untuk menjamin kesihatan mental anak-anak kerana jauh berjalan luas pandangan. 
    Pada hemat saya, ibu bapa perlu mengambil berat terhadap emosi anak selain memenuhi keperluan fizikal. Hal ini dikatakan demikian kerana, anak-anak pada zaman yang penuh cabaran ini lebih banyak menyimpan perasaan dan isi hati mereka daripada dikongsi kepada ibu bapa. Keadaan ini berlaku disebabkan oleh kesibukan ibu bapa dengan karier masing-masing menyebabkan mereka mengabaikan tanggungjawab terhadap anak-anak. Oleh itu, ibu bapa perlu bertanyakan masalah yang dihadapi oleh anak-anak dan mendengar luahan hati mereka dengan hati terbuka dan penuh sabar. Impaknya, anak-anak akan berasa lega kerana masalah mereka didengari dan masalah yang dihadapi dapat diselesaikan dengan bimbingan ibu bapa. Maka, jelaslah bahawa ibu bapa perlu bertindak seperti menarik rambut di dalam tepung, rambut tak putus tepung tak berselerak dalam menguruskan masalah emosi anak-anak agar tidak membawa impak negatif kepada perkembangan kesihatan mental mereka. 
    Selain itu, ibu bapa perlu meluangkan masa untuk menemani anak. Hal ini dikatakan demikian kerana, anak memerlukan ibu bapa dalam peringkat pertumbuhan fizikal dan perkembangan mental. Oleh itu, ibu bapa boleh  melakukan aktiviti riadah dengan anak pada hujung minggu atau pada cuti sekolah. Tamsilnya, berjoging, berbasikal, mendaki bukit atau berkelah. Melalui aktiviti riadah, nescaya anak-anak dapat melepaskan tekanan dan berinteraksi dengan ibu bapa tanpa sebarang kekangan, justeru hubungan kekeluargaan turut terjalin erat. Keadaan ini bersesuaian dengan kata peribahasa, berkayuh sambil bertimba. Impaknya, aktiviti riadah dapat mencergaskan badan anak di samping membantu tubuh anak-anak merembeskan hormon endorfin agar mereka berasa tenang dan gembira. Oleh itu, ternyata benarlah bahawa, ibu bapa perlu bijak menguruskan masa untuk melakukan aktiviti bersama-sama anak agar anak dapat mencapai kesihatan mental yang optimum. 
    Di samping itu, ibu bapa harus mengamalkan interaksi dua hala dengan pihak sekolah. Dalam konteks ini, ibu bapa sewajarnya mengambil tahu perkembangan anak sama ada di rumah atau di sekolah. Sebagai contoh, sekiranya ibu bapa mendapati anak menunjukkan perubahan kelakuan dan perubahan nafsu makan, ibu bapa perlu mengambil langkah awal untuk berinteraksi dengan pihak sekolah dan mendapatkan khidmat kaunseling daripada kaunselor untuk menangani masalah anak. Impaknya, masalah yang kritikal dapat dicegah ibarat kata peribahasa, mencegah lebih baik daripada mengubati. Tegasnya, ibu bapa perlu sentiasa memantau tingkah laku anak dan berinteraksi dengan pihak sekolah bagi menangani isu kesihatan mental dalam kalangan anak sebelum kudis menjadi tokak.
    Tidak dapat disangkalkan juga, ibu bapa perlu memahami tanggungjawab diri dan keperluan anak. Hal ini realitinya menjelaskan bahawa, ibu bapa perlu peka akan tanggungjawab mereka terhadap keperluan anak dari aspek fizikal, intelektual, emosi, mental dan rohani di samping mengejar kesenangan hidup. Tamsilnya, ibu bapa boleh memberikan kata-kata semangat dan ganjaran berupa percutian keluarga sebagai dorongan kepada anak yang bakal menghadapi peperiksaan. Implikasinya, anak tidak akan berasa tersisih, sebaliknya dia berasa dihargai dan lebih berkeyakinan untuk menghadapi cabaran yang mendatang. Hakikatnya, ibu bapa harus memberikan sokongan kepada anak dalam pelbagai aspek, bukannya tertumpu pada aspek kebendaan sahaja. 
    Kesimpulannya, ibu bapa perlu memainkan beberapa peranan yang signifikan untuk menjamin kesihatan mental anak. Sehubungan dengan itu, ibu bapa perlulah melengkapkan diri dengan ilmu keibubapaan sebagai langkah prima dan mencurahkan kasih sayang yang sepenuhnya kepada anak-anak untuk membentuk sahsiah dan jati diri anak yang ampuh. Mudah-mudahan dengan nawaitu yang jitu, kita dapat melahirkan generasi yang sihat dari aspek fizikal, intelek,  emosi, mental dan rohani. Sesungguhnya, anak-anak merupakan bakal peneraju negara bak kata peribahasa, pemuda harapan bangsa, pemudi tiang negara. 

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Manfaat-manfaat Semangat Kejiranan

Kepentingan Sektor Pelancongan kepada Rakyat dan Negara

Langkah-langkah Memupuk Semangat Kejiranan