Cara-cara Melahirkan Pengguna yang Bijak Berbelanja


Dalam menongkah arus modenisasi abad ke-21, isu kepenggunaan di negara kita semakin meruncing. Isu ini sering menjadi polemik dalam kalangan masyarakat. Persoalannya kini, siapakah yang harus dipertanggungjawabkan? Menurut statistik Jabatan Insolvensi Malaysia, pengguna berusia 25 hingga 35 tahun paling ramai diisytiharkan muflis kerana terlalu mengikut trend terkini tanpa mengambil prinsip ukur baju di badan sendiri, sebaliknya membudayakan sikap biar papa asalkan bergaya. Sehubungan dengan itu, langkah-langkah melahirkan pengguna yang bijak berbelanja akan dibincangkan secara terperinci agar pengetahuan kita bertambah tentang amalan bijak berbelanja kerana jauh berjalan luas pandangan. 
    Langkah perdana yang boleh dilaksanakan untuk melahirkan pengguna yang bijak berbelanja ialah persatuan pengguna hendaklah menganjurkan Kemepen Kesedaran Pengguna di seluruh negara. Hal ini bertujuan untuk meningkatkan kesedaran dalam kalangan masyarakat tentang tanggungjawab dan hak-hak kita sebagai pengguna. Sebagai contoh, pihak persatuan pengguna boleh mengadakan pelbagai program yang berkaitan dengan informasi kepenggunaan seperti pameran, ceramah dan pengedaran risalah di pasar raya atau di kompleks beli-belah. Di samping itu, pihak persatuan pengguna juga boleh mewujudkan laman sosial yang efektif bagi memudahkan pengguna membuat aduan. Impaknya, masyarakat akan lebih cakna tentang tanggungjawab dan hak-hak sebagai pengguna serta mengetahui saluran alternatif yang betul untuk membela nasib mereka. Tegasnya, persatuan pengguna harus memainkan peranan yang signifikan dalam usaha melindungi kepentingan pengguna. 
    Manhaj jitu seterusnya ialah ibu bapa perlu menjadi suri teladan kepada anak-anak ketika berbelanja. Hal ini dikatakan demikian kerana, segala tingkah laku dan perbuatan ibu bapa akan menjadi ikutan anak-anak seperti kata peribahasa, ke mana tumpahnya kuah, kalau tidak ke nasi. Oleh itu, segala tingkah laku dan ujaran ibu bapa perlulah selari dan tidak boleh bertentangan bagi mengelakkan situasi seperti ketam mengajar anaknya berjalan lurus. Tamsilnya, ibu bapa hendaklah menyediakan senarai barangan dan membuat perbandingan harga sebelum berbelanja. Ibu bapa juga digalakkan membeli barangan buatan Malaysia bagi menyokong perusahaan tempatan. Implikasinya, anak-anak akan membudayakan amalan berbelanja secara berhemat dalam kehidupan seharian. Pada masa yang sama, pembelian barangan buatan negara dapat meransang pertumbuhan ekonomi domestik di samping menjadikan pertukaran mata wang lebih stabil. Keadaan ini bersesuai dengan peribahasa bagai serampang dua mata. Maka, jelaslah bahawa, ibu bapa perlu memikul obligasi dominan untuk mendidik anak-anak supaya menjadi pengguna yang bijak berbelanja sejak mereka kecil lagi persis kata aforisme, melentur buluh biarlah dari rebungnya.
    Dalam dimensi yang berlainan pula, pihak sekolah harus menerapkan ilmu kepenggunaan kepada murid-murid. Hal ini dikatakan demikian kerana, sekolah merupakan wadah untuk menyampaikan ilmu pengetahuan kepada murid-murid seperti kata peribahasa, ilmu pelita hidup. Sebagai contoh, pihak sekolah sewajarnya menubuhkan Kelab Pengguna sebagai salah satu pendekatan pendidikan kepenggunaan kepada murid-murid. Di samping itu, guru juga boleh mendidik murid-murid tentang kepentingan amalan menabung di dalam bilik darjah. Impaknya, murid-murid akan celik tentang kepentingan menabung dan menghindari masalah berhutang. Oleh itu, benarlah kata peribahasa, tak tumbuh tak melata, tak sungguh orang tak kata, institusi pendidikan wajar  memberikan didikan formal kepada murid-murid tentang ilmu kepenggunaan untuk melahirkan insan yang bijak menguruskan wang ibarat kata peribahasa, sedikit-sedikit lama-lama menjadi bukit. 
    Tidak dapat disangkalkan juga, media massa turut menyumbang dalam usaha membentuk pengguna yang bijak berbelanja. Hal ini dikatakan demikian kerana, media massa merupakan saluran komunikasi yang terbaik dan terpantas untuk menghebahkan informasi kepada masyarakat pada era teknologi digital. Sebagai contoh, pihak media boleh menguar-uarkan maklumat produk, tip bijak berbelanja  dan natijah boros berbelanja kepada masyarakat melalui televisyen ataupun radio. Kesan daripada alpukah tersebut, masyarakat akan lebih peka terhadap pengurusan kewangan dan berbelanja mengikut kemampuan diri. Ternyata benarlah bahawa, media massa merupakan alternatif terbaik untuk  mendedahkan masyarakat kepada isu kepenggunaan yang menimpa golongan muda.
    Walhasil, terdapat pelbagai cara untuk melahirkan pengguna yang bijak berbelanja. Sehubungan dengan itu, semua pihak yang terbabit seyogia menggembleng kudrat bagai aur dengan tebing untuk memainkan peranan masing-masing. Meskipun begitu, pengguna bijak, faedahnya banyak bukanlah sekadar slogan, tetapi perlu dijadikan budaya dalam kehidupan seharian. Sekiranya masyarakat gagal berbelanja secara bijak, maka kadar inflasi akan terus meningkat sehingga melumpuhkan ekonomi negara. Mudah-mudahan dengan iltizam yang padu dan nawaitu yang jitu, kita dapat melahirkan masyarakat yang bijak menguruskan kewangan. 
    

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Manfaat-manfaat Semangat Kejiranan

Kepentingan Sektor Pelancongan kepada Rakyat dan Negara

Langkah-langkah Memupuk Semangat Kejiranan