Cara-cara Menggalakkan Remaja Melibatkan Diri dalam Kerjaya Bidang Bahasa

 


Pada era digital baharu yang dijuasai data raya, kerjaya dalam bidang bahasa asemakin dipinggirkan oleh generasi muda. Hal ini disebabkan mereka berpersepsi bahawa bidang bahasa sukar untuk mendapat peluang pekerjaan, tidak produktif, kurang praktikal dan ketinggalan zaman. Isu ini sering diperkatakan oleh masyarakat. Hakikatnya, bidang bahasa sebenarnya mempunyai potensi dan prospek yang luas dalam pasaran kerja di Malaysia. Persoalannya kini, bagaimanakah kita dapat mengubah tanggapan negatif remaja terhadap kerjaya dalam bidang bahasa? Sehubungan dengan itu, cara-cara untuk menggalakkan remaja melibatkan diri dalam kerjaya bidang bahasa akan dihuraikan  dengan lebih lanjut agar pengetahuan kita bertambah bak kata peribahasa, jauh berjalan luas pandangan.
    Memetik wasitah nirmala perdana, Kementerian Sumber Manusia dengan kerjasama syarikat-syarikat swasta haruslah menganjurkan karnival kerjaya. Hal ini dikatakan demikian kerana, karnival tersebut dapat membuka minda remaja terhadap landskap kerjaya di negara kita mengikut keperluan dan perkembangan semasa. Melalui karnival kerjaya, remaja dapat mengkaji pasaran kerjaya, khususnya dalam bidang bahasa dan mengetahui peluang pekerjaan yang mendapat permintaan tinggi di pasaran seperti jurubahasa, pemberita, penterjemah, wartawan dan penulis. Impaknya, remaja akan mendapat gambaran yang jelas tentang prospek kerjaya dalam bidang bahasa dan linguistik. Maka, benarlah kata peribahasa, tak tumbuh tak melata, tak sungguh orang tak kata bahawa, karnival kerja wajar dianjurkan setiap tahun bagi menyalurkan informasi terkini kepada remaja tentang peluang kerjaya dalam bidang bahasa seperti kata slogan, bahasa jiwa bangsa. 
    Manhaj jitu seterusnya, pihak sekolah haruslah mengadakan kempen bahasa. Hal ini realitinya menjelaskan bahawa, kempen bahasa dapat menanam minat pelajar dalam bidang bahasa seperti bahasa Melayu, bahasa Cina, bahasa Inggeris dan bahasa asing. Sebagai contohnya, pihak sekolah boleh melancarkan pelbagai program seperti program NILAM, pertandingan berpidato, pertandingan mengarang dan bengkel mencipta puisi. Kesan daripada usaha tersebut, kita dapat melahirkan remaja yang mencintai bahasa dan berhasrat untuk berkecimpung dalam kerjaya bidang bahasa umpama kata peribahasa, belayar sambil memapan, merapat sambil belayar. Sudah terang lagi bersuluh, kempen bahasa harus diadakan dari semasa ke semasa untuk menggalakkan remaja melibatkan diri dalam bidang bahasa. 
    Dari kodifikasi yang kontra, pihak kerajaan hendaklah menawarkan biasiswa kepada golongan remaja untuk melanjutkan pelajaran mereka dalam pengajian bidang bahasa sama ada di dalam negara atau di luar negara. Alternatif ini dapat memberikan keyakinan kepada remaja terhadap keperluan tenaga kerja dalam bidang bahasa di Malaysia dan menjamin peluang pekerjaan mereka selepas tamat pengajian. Tamsilnya, Kementerian Pendidikan Malaysia menawarkan Biasiswa Mybrain untuk menarik minat remaja dalam bidang kerjaya sebagai pendidik. Implikasinya, isu kekurangan guru di negara kita dapat diatasi dari semasa ke semasa. Intihanya, bergelanggang di mata orang banyak, tawaran biasiswa merupakan prakarsa yang pragmatik untuk menarik minat remaja untuk menceburi kerjaya bidang bahasa.
    Dari tinta kaca yang berbeza, galakan dan sokongan keluarga penting untuk remaja melibatkan diri dalam kerjaya bidang bahasa. Justifikasinya, ibu bapa meruapakan orang yang paling rapat dengan anak dan mampu mencorakkan kehidupan anak. Misalnya, ibu bapa boleh memberikan dorongan kepada anak untuk menceburi bidang bahasa sama ada dari segi kewangan atau psikologi. Natijahnya, remaja akan lebih berkeyakinan untuk melibatkan diri dalam kerjaya bidang bahasa. Jelaslah bahawa, galakan dan sokongan keluarga amat penting untuk seseorang remaja menceburi kerjaya bidang bahasa. 
    Sebagai penyimpul kata bagi segala yang dibincangkan, bidang bahasa dan linguistik merupakan bidang yang penting dalam pembangunan iktisad negara dan kemajuan masyarakat. Sehubungan dengan itu, pihak kerajaan, syarikat swasta, sekolah dan ibu bapa haruslah berganding bahu bagi aur dengan tebing dalam usaha menggalakkan golongan remaja melibatkan diri dalam kerjaya bidang bahasa. Jika tidak, negara kita tidak mungkin mencapai kelestarian pembangunan seperti yang dihasratkan. Mudah-mudahan dengan iltizam yang padu, golongan remaja dapat melihat keunikan dan konstruktif peluang pekerjaan dalam bidang bahasa dan linguistik, seterusnya menyumbang kudrat dalam bidang tersebut bak kata pepatah, tak kenal maka tak cinta.

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Manfaat-manfaat Semangat Kejiranan

Kepentingan Sektor Pelancongan kepada Rakyat dan Negara

Langkah-langkah Memupuk Semangat Kejiranan