Cara-cara Seseorang Murid Memanfaatkan Cuti Sekolah


Cuti sekolah merupakan saat yang ditunggu-tunggu oleh murid sekolah. Meskipun begitu, cuti sekolah sewajarnya dimanfaatkan dengan aktiviti-aktiviti yang berfaedah persis kata mutiara, masa itu emas. Perkara ini penting bagi mengelakkan murid terjebak dengan gejala negatif. Persoalannya kini, bagaimanakah seseorang murid dapat memanfaatkan cuti sekolah? Sehubungan dengan itu, marilah kita rungkai satu demi satu cara yang boleh dilakukan oleh seseorang murid untuk memanfaatkan cuti sekolah.

               Pada hemat saya, langkah perdana ialah murid boleh menghadiri kelas tambahan di sekolah atau di pusat tuisyen pada cuti sekolah. Langkah ini dapat membantu murid memahami subjek yang masih belum dikuasai. Sebagai evidensinya, murid akan lebih fokus kepada topik yang lemah dan memperbanyak latihan intensif untuk meningkatkan pemahaman tentang topik tersebut di kelas tambahan. Impaknya, murid dapat memperbaik prestasi akademik apabila kembali ke sekolah nanti. Tuntasnya, murid boleh menghadiri kelas tambahan untuk memanfaatkan cuti sekolah kerana ilmu pelita hidup.

               Selain itu, cara yang tidak boleh dikesampingkan ialah murid boleh melakukan aktiviti kesukarelawanan. Dalam konteks ini, aktiviti-aktiviti kesukarelawanan dapat membentuk sahsiah dan menyemai nilai-nilai murni dalam diri murid. Tamsilnya, melalui aktiviti gotong-royong membersihkan rumah warga emas, murid dapat menanam sikap prihatin dan empati terhadap warga tua. Implikasinya, murid akan mengamalkan budi pekerti dan tingkah laku yang baik dalam kehidupan seharian justeru menghindari kegiatan yang tidak sihat bagai serampang dua mata. Oleh itu, murid boleh menyertai aktiviti kesukarelawanan yang dianjurkan oleh komuniti setempat untuk memanfaatkan cuti sekolah.

               Di samping itu, murid boleh melakukan kerja sambilan semasa cuti sekolah. Dalam konteks ini, murid dapat meningkatkan kemahiran diri khususnya kemahiran berkomunikasi dan mencari pendapatan sampingan untuk menampung kos perbelanjaan ke menara gading kelak. Keadaan ini bersesuaian dengan kata peribahasa, belayar sambil memapan, merapat sambil belayar. Sebagai contoh, sekiranya murid bekerja sebagai pelayan restoran, dia dapat mempelajari etika pemakanan, cara menguruskan tempahan dan cara berkomunikasi yang baik dengan pelanggan dan rakan sekerja. Natijahnya, murid dapat melengkapkan diri dengan ilmu dan kemahiran yang tidak dapat dipelajari di sekolah sebelum melangkah ke alam pekerjaan bak kata peribahasa, berakit-rakit ke hulu, berenang-renang ke tepian; bersakit-sakit dahulu, bersenang-senang kemudian. Maka, jelaslah bahawa, murid boleh melakukan kerja sambilan pada musim cuti sekolah agar masa tidak berlalu dengan sia-sia.

               Manhaj jitu seterusnya, murid boleh melancong bersama-sama ahli keluarga pada cuti sekolah. Hal ini dikatakan demikian kerana, murid boleh mengambil kesempatan ini untuk merehatkan minda dan menghilangkan tekanan yang dihadapi dalam pelajaran. Misalnya, murid boleh bercuti di tempat-tempat menarik seperti di pulau atau di kawasan tanah tinggi. Keindahan alam semula jadi sudah tentu dapat menenangkan jiwa di samping mengeratkan hubungan kekeluargaan. Sesungguhnya, aktiviti melancong dengan ahli keluarga amat sesuai dijalankan oleh murid pada cuti sekolah.

               Akhirulkalam, terdapat pelbagai cara yang boleh dilakukan oleh seseorang murid untuk memanfaatkan cuti sekolah. Sehubungan dengan itu, murid-murid harus merancang aktiviti pada cuti sekolah dan menggunakan peluang tersebut dengan sebaik-baiknya. Kita berharap semoga dapat melahirkan murid yang cemerlang bak kata peribahasa, pemuda harapan bangsa, pemudi tiang negara.




 

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Manfaat-manfaat Semangat Kejiranan

Kepentingan Sektor Pelancongan kepada Rakyat dan Negara

Langkah-langkah Memupuk Semangat Kejiranan