Kebaikan-kebaikan Mengamalkan Pemakanan Seimbang

Pemakanan seimbang merupakan tabiat memilih makanan yang merangkumi pelbagai jenis kumpulan makanan dalam jumlah yang bersesuaian. Pengambilan makanan seimbang perlu mengandungi nutrien seperti karbohidrat, protein, vitamin, lemak dan garam galian pada kadar yang betul. Namun begitu, masih terdapat segelintir masyarakat yang kurang memberikan perhatian terhadap soal kesihatan dan pemakanan. Persoalannya kini, apakah kepentingan pemakanan seimbang kepada kita? sehubungan dengan itu, marilah kita rungkai satu demi satu kebaikan amalan pemakanan seimbang agar pengetahuan kita bertambah tentang amalan ini bak kata peribahasa, jauh berjalan luas pandangan.

    Pada hemat saya, amalan pemakanan seimbang penting untuk kita menjalani kehidupan yang aktif. Hal ini realitinya menjelaskan bahawa, amalan pemakanan seimbang boleh menjadikan badan kita sihat dan kuat. dengan tubuh badan yang sihat, kita dapat menjalankan pelbagai aktiviti seperti belajar dan beriadah. Impaknya, masa kita dapat diisi dengan kegiatan yang berfaedah persis kata mutiara masa itu emas. Sudah terang lagi bersuluh, amalan pemakanan seimbang membolehkan masyarakat menjalani kehidupan yang aktif sepanjang hari. 

    selain itu, kemaslahatan amalan pemakanan seimbang yang tidak dapat dikesampingkan ialah kita akan memperoleh tenaga yang mencukupi. Hal ini dikatakan demikian kerana, makanan berkarbohdrat dapat membekalkan tenaga kepada kita untuk melakukan aktiviti dari pagi sehingga malam. Lantaran itu, kita tidak mudah berasa letih dan culas. Implikasinya, kita dapat melakukan kerja dengan lebih efisien dan berproduktiviti.Maka, jelaslah bahawa, pengambilan makanan seimbang amat penting untuk memenuhi keperluan tenaga setiap individu. 

    Jika ditelusuri secara mendalam, amalan pemakanan seimbang dapat memastikan kita memperoleh kandungan nutrisi yang secukupnya. Justifikasinya, sajian makanan seimbang merangkumi pelbagai makanan yang mengandungi khasiat yang tinggi berpandukan piramid makanan. Misalnya, nasi, ikan, sayur, buah-buahan dan air kosong. Nutrisi yang mencukupi dapat membantu meningkatkan sistem imunisasi badan untuk melawan penyakit. Tegasnya, pengambilan makanan seimbang mampu memenuhi keperluan nutrisi individu. 

    Menyingkap tabir fakta yang seterusnya, amalan pemakanan seimbang dapat membantu kita  mengurangkan risiko menghidapi penyakit yang berbahaya. Hal ini dikatakan demikian kerana, tabiat pengambilan makanan seimbang melatih seseorang untuk mengawal nafsu makan secara berlebihan. Sebagai evidensinya, pengambilan makanan mengikut konsep hidangan Suku, Suku, Separuh diperkenalkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia. Kesan daripada budaya pemakanan yang sihat, penyakit kronik seperti diabetes, penyakit jantung, darah tinggi dan obesiti dapat dihindari umpama peribahasa, mencegah lebih baik daripada mengubati. oleh itu, tak tumbuh tak melata, tak sungguh orang tak kata, amalan pemakanan seimbang dapat menghindarkan masyarakat daripada penyakit yang berbahaya. 

    Sebagai penggulung segala yang dinyatakan di atas, pemakanan seimbang amat penting dalam membantu tumbesaran dan penjagaan kesihatan diri seseorang. Sehubungan dengan itu, masyarakat harus cakna tentang kepentingan pemakanan seimbang dan mempraktikkan budaya pemakanan sihat dalam kehidupan seharian. Kita berharap semoga rakyat yang sihat mampu membangunkan iktisad negara untuk bersaing dengan negara-negara gergasi di seantero dunia ke arah mencapai status negara maju. Ingatlah bahawa, rakyat sihat, negara maju.

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Manfaat-manfaat Semangat Kejiranan

Kepentingan Sektor Pelancongan kepada Rakyat dan Negara

Langkah-langkah Memupuk Semangat Kejiranan