Usaha-usaha Menangani Isu Kemalangan Jalan Raya

 


Dasawarsa ini, kadar kemalangan jalan raya di negara kita semakin meningkat. Isu ini sering terpampang di dada akhbar. Menurut Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), 90 peratus daripada kemalangan yang berlaku di negara kita berpunca daripada sikap acuh tak acuh pemandu . Persoalannya kini, bagaimanakah isu kemalangan jalan raya di negara kita dapat diatasi dengan efektifnya? Sehubungan dengan itu, usaha-usaha menangani kadar peningkatan kemalangan jalan raya akan dibincangkan secara terperinci agar pengetahuan kita bertambah tentang isu tersebut bak kata pepatah, jauh berjalan luas pandangan. 

    Pada hemat saya, antara usaha yang boleh dilakukan untuk menangani kadar peningkatan kemalangan jalan raya ialah pihak Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) harus mengadakan Kempen Kesedaran Jalan Raya secara berterusan. Hal ini dikatakan demikian kerana, kempen tersebut dapat meningkatkan kesedaran pengguna jalan raya tentang kepentingan menjaga keselamatan diri dan orang lain. Sebagai contoh, pihak JPJ boleh mengadakan pameran, ceramah, demonstrasi, pertandingan mewarna dan permainan yang melibatkan keselamatan jalan raya di tempat-tempat awam. Kesan daripada usaha tersebut, pengguna jalan raya akan peka terhadap kepentingan dan langkah-langkah menjaga keselamatan di jalan raya sebelum nasi menjadi bubur. Maka, jelaslah bahawa, Kempen Kesedaran Keselamatan Jalan Raya wajar dijalankan dari semasa ke semasa umpama kata peribahasa, mencegah lebih baik daripada mengubati. 

    Selain itu, prakarsa yang tidak dapat dikesampingkan ialah pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) perlu menguatkuasakan undang-undang jalan raya. Hal ini realitinya menjelaskan bahawa, pelaksanaan undang-undang pada masa kini masih longgar. Sebagai contoh, polis trafik mestilah melakukan operasi perangkap had laju di jalan-jalan yang berisiko tinggi berlakunya kemalangan jalan raya dan memperbanyak pemasangan kamera perangkap had laju di lebuh raya dan persimpangan lampu isyarat. Selain itu, pihak berkuasa mestilah meningkatkan denda terhadap pemandu yang melakukan kesalahan terutamanya memandu secara berbahaya dan dalam keadaan mabuk. Implikasinya, kita dapat melahirkan masyarakat yang berdisiplin dan mematuhi undang-undang. Oleh itu, benarlah kata peribahasa hendak seribu daya, tak hendak seribu dalih, penguatkuasaan undang-undang dapat memberikan kesan positif dalam usaha menangani isu kemalangan jalan raya. 

    Jika ditelusuri secara mendalam, ibu bapa turut memainkan peranan dalam usaha menangani isu kemalangan jalan raya. Dalam konteks ini, ibu bapa harus mendidik anak-anak tentang keselamatan di jalan raya. Hal ini dikatakan demikian kerana, ibu bapa merupakan orang yang paling rapat dengan anak-anak dan memikul obligasi dominan dalam membentuk anak yang berakhlak mulia. Sebagai contohnya, ibu bapa perlu mendidik anak supaya menggunakan jejantas semasa melintas jalan raya dan sentiasa mengingatkan anak supaya memakai tali pinggang semasa menaiki kereta. Impaknya, anak-anak akan membudayakan sikap menjaga keselamatan diri di jalan raya bak kata peribahasa, bagaimana acuan begitulah kuihnya. Tegasnya, ibu bapa perlu menjadi model contoh yang baik demi melindungi nyawa orang tersayang. 

    Tidak dapat disangkalkan jua, pemilik kenderaan mestilah melakukan pemeriksaan kenderaan. Hal ini dikatakan demikian kerana, kenderaan yang tidak diselenggara dengan baik akan mengakibatkan kemalangan. Sebagai evidensinya, pemandu yang ingin membelok akan menimbulkan kekeliruan kepada pemandu yang lain sekiranya dia tidak dapat menyalakan lampu signal kenderaan . Sebagai kesan daripada usaha ini, risiko kecederaan dan kehilangan nyawa dapat diminimumkan. Maka, sudah terang lagikan bersuluh, pemilik kenderaan mestilah menyelenggarakan kenderaan secara berkala supaya selamat digunakan dan menghindari sikap bagai enau dalam belukar melepaskan pucuk masing-masing demi keselamatan diri dan orang lain. 

    Kesimpulannya, terdapat pelbagai prakarsa yang boleh dilaksanakan bagi menangani kadar peningkatan kemalangan jalan raya. Sehubungan dengan itu, semua pihak yang terlibat perlu menggembleng kudrat untuk menangani isu kemalangan jalan raya bak kata pepatah, muafakat membawa berkat.  Mudah-mudahan dengan iltizam yang padu dan nawaitu yang jitu, masyarakat akan lebih cakna tentang keselamatan di jalan raya dan seterusnya mengurangkan kadar kemalangan jalan raya. Ingatlah bahawa, sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tidak berguna. 

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Manfaat-manfaat Semangat Kejiranan

Kepentingan Sektor Pelancongan kepada Rakyat dan Negara

Langkah-langkah Memupuk Semangat Kejiranan