Rencana: Punca-punca Kemerosotan Tahap Disiplin dalam Kalangan Murid


 

Punca-punca Kemerosotan Tahap Disiplin dalam Kalangan Murid 

Oleh: Tan Kyler

Dalam menongkah arus modenisasi abad ke-21, tahap disiplin dalam kalangan murid semakin merosot dan membimbangkan semua pihak. Antara masalah disiplin murid adalah seperti ponteng sekolah, merokok, buli, dan vandalisme. Isu ini sering menjadi polemik dalam kalangan masyarakat. Menurut liputan Berita Harian, kesalahan murid ponteng sekolah telah mencatatkan bilangan kes tertinggi pada tahun lalu. Persoalannya kini, siapakah yang harus dipersalahkan? Sehubungan dengan itu, punca-punca kemerosotan tahap disiplin dalam kalangan murid akan dibincangkan secara terperinci agar pengetahuan kita bertambah tentang isu tersebut bak kata pepatah, jauh berjalan luas pandangan. 

    Memetik wasitah nirmala perdana, punca kemerosotan tahap disiplin dalam kalangan murid disebabkan oleh pengaruh rakan sebaya. Hal ini dikatakan demikian kerana, murid banyak menghabiskan masa bersama-sama rakan di sekolah berbanding dengan ahli keluarga. Sebagai evidensinya, seseorang murid menghabiskan masa sekurang-kurangnya 7 jam di sekolah setiap hari. Impaknya, murid akan terikut-ikut perangai dan tingkah laku rakan di sekelilingnya supaya tidak tersisih daripada kumpulan rakan. Maka, jelaslah bahawa, rakan sebaya mampu mempengaruhi perkembangan akhlak dan sahsiah murid seperti kata orang tua-tua, jika berkawan dengan penjual minyak wangi, wangilah kita; jika berkawan dengan penjual arang, hitamlah kita. 

    Memetik wasitah nirmala yang seterusnya, kemerosotan tahap disilpin dalam kalangan murid berpunca daripada faktor keluarga. Hal ini realitinya menjelaskan bahawa, murid kekurangan kasih sayang dan perhatian daripada ibu bapa. Keadaan ini berlaku disebabkan sesetengah ibu bapa lebih mementingkan kerjaya demi mengejar kemewahan hidup. Bertitik tolak daripada itu, mereka kurang mengambil berat tentang keperluan anak-anak, justeru gagal memberikan didikan agama yang sempurna kepada mereka. Implikasinya, anak-anak tidak mempunyai imam yang kukuh dan berani untuk melakukan apa-apa sahaja tanpa pengetahuan ibu bapa. Tegasnya, ibu bapa perlu memikul obligasi dominan untuk membentuk disiplin anak-anak seperti menatang minyak yang penuh. 

     Kalau tiada angin masakan pokok bergoyang, kemerosotan tahap disiplin dalam kalangan murid disebabkan oleh pengaruh media sosial. Hal ini dikatakan demikian kerana, aplikasi media sosial seperti Tik Tok, YouTube dan Instagram merupakan platform komunikasi yang yang popular dan diminati oleh golongan murid. Tamsilnya, sesetengah pempengaruh media sosial gemar memuat naik video klip yang tidak bermoral untuk meningkatkan populariti dan menarik lebih banyak peminat. Natijahnya, golongan murid yang masih mentah persis umur setahun jagung, darah setampuk pinang akan meniru perbuatan dalam paparan video yang ditonton tanpa memikirkan penangannya. Intihanya, bergelanggang di mata orang banyak, media sosial boleh mendatangkan impak buruk kepada murid-murid jika penggunaannya tidak  dipantau dari semasa ke semasa.

    Meniti kodifikasi seterusnya, kemerosotan tahap disiplin dalam kalangan murid berpunca daripada kegagalan pihak sekolah melaksanakan tindakan tatatertib dengan berkesan. Hal ini realitinya menjelaskan bahawa, pihak sekolah terlalu mementingkan pencapaian akademik murid sehingga mengabaikan masalah disiplin mereka. Sebagai contohnya, murid yang terbabit dalam kesalahan ponteng sekolah hanya diberikan amaran secara lisan tanpa tindakan tegas. Natijahnya, murid tersebut berani untuk bertindak sesuka hati kerana beranggapan pihak sekolah akan merahsiakan perbuatannya demi menjaga imej sekolah. Oleh itu, pihak sekolah sewajarnya memperketat peraturan sekolah dan mengenakan denda yang tegas terhadap murid yang melanggar peraturan sekolah bagi membendung isu dislipin dalam kalangan murid.

    Akhirulkalam, kemerosotan tahap disiplin dalam kalangan murid akan menjejaskan masa depan pelajar dan kesejahteraan hidup masyarakat. Sehubungan dengan itu, semua pihak yang terbabit perlu menggembleng kudrat bagai aur dengan tebing untuk menangani masalah tersebut secara sistematik dan pragmatik sebelum menjadi barah. Harapannya, kita dapat melahirkan generasi yang cemerlang, gemilang dan terbilang. Sesungguhnya, golongan murid merupakan bakal peneraju negara bak kata peribahasa, pemuda harapan bangsa, pemudi tiang negara. 


Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Manfaat-manfaat Semangat Kejiranan

Kepentingan Sektor Pelancongan kepada Rakyat dan Negara

Langkah-langkah Memupuk Semangat Kejiranan