Usaha-usaha Membendung Pencemaran Udara


Dalam menelusuri era globalisasi yang penuh cabaran ini, isu pencemaran udara di negara kita semakin kritikal seperti retak menanti belah. Isu ini sering terpampang di dada akhbar. Persoalannya kini, siapakah yang harus dipersalahkan? Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), pencemaran udara yang berterusan boleh mendatangkan impak buruk kepada kesihatan fizikal dan mental penduduk global. Sehubungan dengan itu, marilah kita rungkai satu demi satu usaha yang boleh dilakukan untuk membendung pencemaran udara di negara kita agar pengetahuan kita bertambah tentang isu ini kerana jauh berjalan luas pandangan. 

    Pada hemat saya, prakarsa prima untuk membendung pencemaran udara ialah pihak kerajaan mesti menganjurkan kempen Hari Udara Bersih secara berterusan. Hal ini dikatakan demikian kerana, kempen tersebut dapat meningkatkan kesedaran dalam kalangan masyarakat tentang natijah  pencemaran udara terhadap kesihatan. Sebagai contoh, Jabatan Alam Sekitar Malaysia (JASM) boleh menganjurkan pelbagai program yang berkaitan dengan pencemaran udara sepanjang kempen tersebut seperti pameran, ceramah, pertandingan mewarna dan pertandingan melukis poster. Implikasinya, masyarakat akan lebih peka terhadap kepentingan menjaga kebersihan udara sebelum nasi menjadi bubur. Maka, ternyata benarlah bahawa, kempen kesedaran wajar dijalankan dari semasa ke semasa bak kata aforisme, mencegah lebih baik daripada mengubati. 

    Jika ditelusuri secara mendalam, ibu bapa perlu memainkan peranan yang signifikan dalam usaha membendung pencemaran udara. Hal ini dikatakan demikian kerana, ibu bapa merupakan insan yang paling rapat dengan anak dan mampu membentuk sahsiah yang baik dalam diri anak. Tamsilnya, ibu bapa perlu menunjukkan tingkah laku yang baik, iaitu menghindari tabiat merokok dan aktiviti membakar sampah secara terbuka agar tidak menjadi ikutan anak umpama kata peribahasa, ke mana tumpahnya kuah kalau tidak ke nasi. Impaknya, anak akan menjauhi perbuatan yang boleh mencemarkan udara dalam kehidupan seharian sekali gus meminimumkan kes pencemaran udara. Tegasnya, ibu bapa harus memikul obligasi yang dominan untuk mendidik anak-anak tentang langkah-langkah menjaga alam sekitar sejak mereka kecil lagi ibarat kata peribahasa, melentur buluh biarlah dari rebungnya. 

    Meniti kodifikasi seterusnya, masyarakat harus mengamalkan amalan berkongsi kereta untuk membendung pencemaran udara. Hal ini realitinya menjelaskan bahawa, asap toksik di udara akan berkurangan sekiranya bilangan kenderaan berkurang. Tamsilnya, kita boleh berkongsi kereta jiran untuk pergi ke tempat kerja atau ke sekolah. Kesan daripada budaya berkongsi kereta, kita dapat memastikan kualiti udara terpelihara di samping menjimatkan kos pengangkutan. Situasi ini bersesuai dengan kata peribahasa, belayar sambil memapan, merapat sambil belayar. Oleh itu, siang bagai hari terang bagai bulan, amalan berkongsi kereta dilihat sebagai prakarsa yang efektif untuk mengatasi isu pencemaran udara di negara kita sekali gus menghapuskan sikap seperti enau dalam belukar melepaskan pucuk masing-masing dalam kalangan masyarakat. 

    Tidak dapat disangkalkan jua, Badan Bukan Kerajaan (NGO) hendaklah mengadakan kempen penanaman pokok untuk memelihara alam sekitar. Dalam konteks ini, aktiviti penanaman pokok bukan sahaja dapat meningkatkan kualiti udara, tetapi juga dapat mengeratkan hubungan silaturahim dalam kalangan masyarakat majmuk bagai serampang dua mata. Misalnya, Badan Bukan Kerajaan dengan kerjasama pihak kerajaan, pihak swasta dan orang awam melancarkan kempen penanaman 100 juta pokok di seluruh negara. Kesan daripada usaha tersebut, pokok-pokok yang ditanam akan  membekalkan udara yang bersih dan segar kepada hidupan di bumi di samping menghijaukan alam sekitar. Maka, jelaslah bahawa, aktiviti penanaman pokok memberikan kesan positif untuk membendung isu pencemaran udara seperti kata peribahasa, hendak seribu daya, tak hendak seribu dalih. 

    Kesimpulannya, terdapat pelbagai inisiatif yang pragmatik boleh dilaksanakan untuk membendung isu pencemaran udara di Malaysia. Sehubungan dengan itu, semua pihak yang terbabit perlu menggembleng kudrat untuk mengatasi isu tersebut bersama-sama umpama kata peribahasa, berat sama dipikul, ringan sama dijinjing. Jika isu tersebut tidak ditangani dengan efektifnya, kita mungkin akan kehilangan insan tersayang. Mudah-mudahan dengan iltizam yang padu dan naiwaitu yang jitu, kita dapat melahirkan masyarakat yang prihatin terhadap kelestarian alam sekitar. Ingatlah bahawa, jika tidak dipecahkan ruyung, manakan dapat sagunya. 

    

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Manfaat-manfaat Semangat Kejiranan

Kepentingan Sektor Pelancongan kepada Rakyat dan Negara

Langkah-langkah Memupuk Semangat Kejiranan