Langkah-langkah Membina Keluarga Bahagia


Dalam menelusuri era globalisasi yang penuh cabaran ini, keluarga bahagia amat dititikberatkan demi mencapai kesejahteraan hidup. Justeru, topik keluarga bahagia sering menjadi bualan masyarakat. Persoalannya kini, bagaimanakah masyarakat dapat membina keluarga yang bahagia? Hakikatnya, institusi keluarga merupakan nadi pembangunan modal insan untuk memacu kemajuan negara.  Oleh itu, marilah kita rungkai satu demi satu langkah-langkah untuk membina keluarga bahagia.
    Pada hemat saya, prakarsa perdana untuk membina keluarga bahagia ialah ibu bapa mestilah menerapkan didikan agama dalam diri anak-anak. Hal ini dikatakan demikian kerana, ajaran agama mendidik anak-anak untuk berbuat kebaikan dan menghindari kejahatan. Tamsilnya, agama Islam mendidik umat Islam supaya mengamalkan pertuturan dan tingkah laku yang sopan terhadap ibu bapa. Impaknya, kita dapat melahirkan anak yang syumul. Maka, jelaslah bahawa, keluarga bahagia dapat dibina jika ibu bapa menerapkan didikan agama yang sempurna dalam diri anak-anak sejak mereka kecil lagi umpama kata peribahasa, melentur buluh biarlah dari rebungnya. 
    Manhaj jitu seterusnya ialah ibu bapa harus mencurahkan kasih sayang kepada anak-anak. Dalam konteks ini, ibu bapa hendaklah kerap meluangkan masa dengan anak-anak. Sebagai contoh, ibu bapa boleh melakukan aktiviti riadah bersama-sama anak di taman rekreasi pada hari minggu. Implikasinya, hubungan antara ibu bapa dengan anak-anak akan menjadi lebih rapat dan ikatan mesra sesama ahli keluarga akan kekal terjalin. Sudah terang lagi bersuluh bahawa, ibu bapa mestilah mengasuh anak-anak dengan penuh kasih sayang bagai menatang minyak yang penuh untuk membina keluarga bahagia. 
    Selain itu, langkah yang tidak boleh dikesampingkan ialah setiap ahli keluarga haruslah bergaul dengan baik antara satu sama lain. Hal ini realitinya menjelaskan bahawa, pergaulan yang baik sesama ahli keluarga dapat mewujudkan suasana yang damai dalam keluarga. Misalnya, ahli keluarga saling menghormati dan bertolak ansur antara satu sama lain. Natijahnya, perselisihan dan pertelingkahan antara ahli keluarga dapat dielakkan. Tegasnya, setiap ahli keluarga harus membudayakan adab dan akhlak yang mulia untuk membina keluarga bahagia. 
    Meniti kodifikasi seterusnya, ibu bapa mesti menjadi suri teladan kepada anak-anak. Hal ini dikatakan demikian kerana, segala tingkah laku ibu bapa akan dicontohi oleh anak-anak. Sebagai contoh, ibu bapa harus menggunakan bahasa yang sopan dan lemah-lembut semasa berinteraksi dengan anak-anak. Natijahnya, anak-anak akan meneladani sikap ibu bapa seperti kata peribahasa, bagaimana acuan begitulah kuihnya. Oleh itu, benarlah kata peribahasa tak tumbuh tak melata, tak sungguh orang  tak kata, ibu bapa perlu menunjukkan sikap dan tingkah laku yang baik demi mewujudkan keluarga bahagia.
     Akhirulkalam, terdapat pelbagai prakarsa yang pragmatik untuk membina keluarga bahagia. Sehubungan dengan itu, ibu bapa perlu mendukung obligasi dominan untuk menjalinkan ikatan kekeluargaan yang kukuh. Sesungguhnya, institusi keluarga merupakkan pemangkin kepada pembangunan negara. Mudah-mudahan dengan alpukah yang ampuh, masyarakat dapat membina institusi keluarga yang bahagia ke arah mencapai gagasan Malaysia MADANI seperti yang dihasratkan oleh kerajaan. Ingatlah bahawa, keluarga bahagia, negara sejahtera. 


Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Manfaat-manfaat Semangat Kejiranan

Kepentingan Sektor Pelancongan kepada Rakyat dan Negara

Langkah-langkah Memupuk Semangat Kejiranan