Impak-impak Pencemaran Plastik
Kalau tiada angin, masakan pokok bergoyang. Dasawarsa ini, kita sering mendengar omelan dari bibir ke bibir tentang isu pencemaran plastik. Isu ini sering dipaparkan dalam media arus perdana. Menurut liputan berita Astro Awani, pencemaran plastik telah menjadi ancaman global akibat lebih daripada 8 juta tan sisa plastik memasuki lautan saban tahun. Keadaan ini wajar dipandang serius kerana akan membahayakan alam sekitar dan memudaratkan kesihatan manusia jika dibiarkan berlarutan. Persoalannya, sejauh manakah ancaman pencemaran plastik kepada alam sekitar dan hidupan di bumi? Sehubungan dengan itu, marilah kita menghalusi satu demi satu impak pencemaran plastik agar pengetahuan kita bertambah tentang isu ini umpama peribahasa, jauh perjalanan, luas pemandangan.
Umum mengetahui bahawa, pencemaran plastik akan membawa kesan yang ketara kepada pencemaran air. Hal ini dikatakan demikian kerana berjuta-juta tan sisa plastik dibuang di seantero dunia saban hari. Tamsilnya, sisa plastik dibuang ke dalam longkang dan parit. Sementelahan, segelintir masyarakat membuang sisa plastik ke dalam sungai. Apabila hujan turun dengan lebatnya, longgokan sisa plastik akan dihanyutkan dari longkang ke sungai sekali gus menatijahkan pencemaran sungai dan menjejaskan kualiti sumber air bersih. Sudah terang lagi bersuluh, pencemaran plastik membawa impak yang besar kepada bekalan air bersih.
Meniti kodifikasi seterusnya, pencemaran plastik boleh memberikan ancaman kepada ekosistem air. Justifikasinya, plastik yang dibuang ke dalam laut mengambil masa yang panjang, iaitu kira-kira 100 hingga 500 tahun untuk lupus. Keadaan ini menyebabkan hidupan marin seperti penyu dan ikan mudah terbunuh akibat terjerat dalam longgokan sisa plastik, bahkan sisa plastik turut dimakan oleh hidupan marin kerana disangkakan makanan. Lantaran itu, kira-kira 100 juta hidupan marin dilaporkan mati akibat pencemaran plastik yang teruk di lautan. Jika keadaan ini dibiarkan berlanjutan, nescaya hidupan marin akan diancam kepupusan. Maka, benarlah kata peribahasa, tak tumbuh tak melata, tak sungguh orang tak kata, pencemaran plastik akan mengancam keseimbangan ekosistem air.
Tidak dapat disangkalkan jua, pencemaran plastik akan menjejaskan tahap kesihatan manusia. Hal ini dikatakan demikian kerana plastik yang terurai di dalam air akan menjadi mikroplastik yang berbahaya. Mikroplastik boleh memasuki rantai makanan manusia melalui hasil laut. Sebagai kesannya, pengumpulan mikroplastik dalam tubuh badan manusia akan memudaratkan sistem pencernaan, mengganggu metabolisme dan berpotensi meningkatkan risiko kanser. Jelaslah bahawa, pencemaran plastik akan menjejaskan tahap kesihatan segenap lapisan masyarakat.
Dalam dimensi yang berbeza pula, pencemaran plastik boleh menimbulkan isu pemanasan global. Hal ini dikatakan demikikian kerana proses pembuatan plastik dan pelupusan plastik melibatkan pembakaran bahan api fosil seperti minyak dan gas asli. Sebagai contoh, pembakaran plastik menghasilkan gas rumah hijau seperti metana dan karbon dioksida yang memerangkap haba di atmosfera. Implikasinya, pembebasan gas rumah hijau dalam kuantiti yang besar akan mendorong kepada perubahan iklim global. Tegasnya, pencemaran plastik akan menyumbang kepada isu pemanasan global.
Sebagai penutup bingkisan bicara, pencemaran plastik telah membawa impak yang besar kepada alam sekitar dan hidupan di bumi. Sehubungan dengan itu, langkah-langkah drastik dan pragmatik perlu diambil oleh warga global untuk menangani isu tersebut sehingga ke akar umbi sebelum menjadi barah. Sinergi padu daripada setiap anggota masyarakat tanpa mengira strata amat signifikan dalam usaha mensifarkan pencemaran plastik ibarat kata orang tua-tua, muafakat membawa berkat. Mudah-mudahan dengan iltizam yang padu dan nawaitu yang jitu, kita mampu mengekalkan kelestarian alam sekitar demi kesejahteraan hidup bersama. Ingatlah bahawa, hendak seribu daya, tak hendak seribu dalih.

Comments
Post a Comment