Kata Nama Majmuk
Kata nama majmuk terhasil daripada proses merangkaikan dua kata dasar atau lebih yang membawa makna tertentu. Kata nama majmuk dieja terpisah dan bertindak sebagai satu unit, iaitu tidak boleh disisipkan sebarang unsur. [Tatabahasa Dewan]
3 Jenis Kata Nama Majmuk
- terdiri daripada rangkai kata bebas
guru besar
tengah hari
tepian gelanggang
balai raya
rukun tetangga
kertas kerja
urus setia
atur cara
Menteri Besar
Raja Permaisuri
Datuk Bendahara
Timbalan Naib Canselor
Ketua Pustakawan
Setiausaha Sulit
Leftenan Jeneral
- merupakan istilah khusus dalam bidang ilmiah
mogok umum
deria rasa
temu duga
cari gali
segi empat tepat
telefon dail terus
analisis teks
- mendukung maksud kiasan (simpulan bahasa)
kepala batu
duit kopi
tangkai jering
lipas kudung
buah hati
Kata Majmuk Mantap – Bentuk yang telah dimantapkan
Contoh ayat:
1. antarabangsa
- Datuk Lee Chong Wei ialah pemain badminton profesional yang terkenal pada peringkat antarabangsa.
2. Pesuruhjaya
- Seorang pesuruhjaya dilantik oleh Suruhanjaya Kanak-kanak untuk menyelesaikan isu-isu berkaitan kebajikan dan perlindungan kanak-kanak di negara ini.
3. Bumiputera
- Kaum Kadazan merupakan kaum bumiputera yang terbesar di negeri Sabah.
4. Jawatankuasa
- Satu jawatankuasa khas telah ditubuhkan untuk mengendalikan hal-hal berkaitan sambutan Hari Guru di sekolah.
5. Kakitangan
- Semua kakitangan syarikat swasta itu diberikan bonus oleh majikan sempena Tahun Baharu Cina.
6. Kerjasama
- Kerjasama antara ibu bapa dengan pihak sekolah amat penting dalam usaha menangani isu pelajar ponteng sekolah.
7. Warganegara
- Warganegara asing itu ditahan oleh penguat kuasa Jabatan Imigresen Malaysia kerana tidak mempunyai dokumen pengenalan diri.
8. Olahraga
- Sukan olahraga terbahagi kepada acara balapan dan acara padang.
9. Setiausaha
- Setiausaha Persatuan Bahasa Melayu sedang menyiapkan laporan tentang lawatan sambil belajar ke Muzium Negara.
10. Sukarela
- Beberapa orang pemuda membantu mangsa-mangsa banjir itu berpindah ke pusat penempatan sementara secara sukarela.
11. Suruhanjaya
- Suruhanjaya khas itu ditubuhkan untuk menyiasat kes rasuah yang melibatkan pegawai kerajaan.
12. Tandatangan
- Pasangan pengantin itu menurunkan tandatangan mereka pada buku Daftar Perkahwinan.
13. Tanggungjawab
- Ibu bapa perlu memikul tanggungjawab mereka untuk memberikan didikan yang sempurna kepada anak-anak.
14. Matahari
- Tumbuh-tumbuhan memerlukan cahaya matahari untuk menjalankan proses fotosintesis.
15. Beritahu
- Pesanan pengetua dalam perhimpunan sekolah akan saya beritahu kepada ibu bapa.
Comments
Post a Comment