Ciri-ciri Remaja yang Baik
Umum mengetahui bahawa, remaja merupakan aset yang penting dalam pembangunan sesebuah negara. Sebagaimana bekas pemimpin Indonesia, Soekarno pernah berkata, "berikan aku 1000 orang tua, nescaya akan aku cabut semeru dari akarnya, berikan aku 10 orang pemuda, nescaya akan aku goncangkan dunia ini". Ungkapan ini telah menjelaskan potensi generasi muda sebagai pencorak negara dan ummah pada masa hadapan. Oleh itu, golongan ini harus dibimbing bagai menatang minyak yang penuh supaya menjadi warganegara yang berkualiti dan berakhlak mulia. Persoalannya, apakah ciri-ciri yang sewajarnya dimiliki oleh seorang remaja yang baik? Sehubungan dengan itu, marilah kita menghalusi satu demi satu ciri remaja yang baik agar golongan ini mampu menerajui negara ke puncak kegemilangan.
Sudah
terang lagi bersuluh, remaja yang baik mestilah taat setia kepada raja dan
negara. Hal ini dikatakan demikian kerana sikap taat setia kepada raja dan
negara mampu melahirkan remaja yang sanggup mempertahankan kedaulatan negara
daripada sebarang ancaman. Sebagai contoh, remaja menyertai sambutan Hari
Kebangsaan, mengibarkan Jalur Gemilang dan menghormati lagu Negaraku. Impaknya,
semangat patriotik dapat dipupuk dalam lubuk kalbu remaja sekali gus
mengukuhkan perpaduan rakyat berbilang kaum dan agama. Tegasnya, remaja
yang baik perlu berjiwa patriotik umpama aforisme tak lapuk dek hujan, tak lekang dek panas dalam mempertahankan kedaulatan negara.
Meniti kodifikasi seterusnya, remaja yang baik seharusnya menghayati keluhuran perlembagaan. Hal ini vital agar golongan ini memahami hak dan tanggungjawab mereka sebagai warganegara dan menghormati undang-undang yang telah ditetapkan dalam perlembagaan Malaysia. Tamsilnya, remaja tidak terlibat dalam kegiatan jenayah seperti penagihan dadah, buli dan vandalisme. Implikasinya, mujtamak akan hidup aman dan sejahtera tanpa sebarang gangguan sosial. Jelaslah bahawa penghayatan terhadap keluhuran perlembagaan mampu melahirkan remaja yang berdisiplin ibarat kata peribahasa Melayu, ikut remi padi, makin berisi makin tunduk.
Tidak dapat disangkalkan jua, remaja yang baik perlu mengamalkan kesopanan dan kesusilaan dalam kehidupan harian. Hal ini dikatakan demikian kerana adab yang baik mencerminkan keperibadian seseorang. Contohnya, remaja sentiasa menjaga tutur kata dan tingkah laku, justeru menghormati ibu bapa, guru dan orang di sekelilingnya. Berkat daripada amalan mulia ini, hubungan kekeluargaan dan kemasyarakatan akan terjalin mesra. Maka, ternyata benarlah bahawa nilai kesopanan dan kesusilaan perlu disemai dalam jiwa remaja umpama peribahasa, biar mati anak, jangan mati adat.
Di samping itu, remaja yang baik harus rajin menuntut ilmu. Hal ini dikatakan demikian kerana ilmu merupakan kunci kejayaan remaja pada masa hadapan. Sebagai contoh, remaja perlu mengulang kaji pelajaran dan bertanya kepada guru dan rakan sekiranya menghadapi masalah dalam pelajaran. Remaja yang cemerlang dalam bidang akademik akan memiliki minda kelas pertama untuk bersaing di persada dunia. Hakikatnya, remaja yang penuh ilmu di dada mampu menyumbang kepada pembangunan watan dan kesejahteraan bangsa agar duduk sama rendah, berdiri sama tinggi dengan negara-negara gergasi di seantero dunia.
Akhirulkalam, terdapat pelbagai ciri remaja yang baik yang perlu dipupuk oleh setiap remaja. Sehubungan dengan itu, ibu bapa, pihak sekolah dan masyarakat harus berganding bahu untuk membentuk generasi yang berkualiti. Sekiranya golongan remaja berakhlak mulia dan berwawasan tinggi, nescaya negara kita akan terus maju dan sejahtera. Mudah-mudahan dengan iltizam yang padu dan nawaitu yang jitu, kita mampu melahirkan remaja yang cemerlang, gemilang dan terbilang demi negara tercinta. Ingatlah bahawa, pemuda harapan bangsa, pemudi tiang negara.
Comments
Post a Comment