Rencana: Peranan-peranan Pelbagai Pihak Memupuk Amalan Membaca

                                          


Peranan-peranan Pelbagai Pihak Memupuk Amalan Membaca
Oleh: Tan Kyler

Membaca jambatan ilmu merupakan peribahasa yang mengingatkan kita bahawa apabila seseorang itu suka membaca, maka semakin banyaklah ilmunya. Namun begitu, amalan membaca semakin dipinggirkan oleh masyarakat terutamanya generasi Z. Persoalannya kini, siapakah yang harus dipertanggungjawabkan untuk memastikan generasi hari ini menjadikan budaya membaca sebagai rutin dalam kehidupan seharian? Sehubungan dengan itu, marilah kita rungkai satu demi satu peranan yang perlu diambil oleh  pelbagai pihak untuk memupuk amalan membaca dalam kalangan generasi pada hari ini.

    Antara peranan yang boleh diambil oleh pihak kerajaan untuk memupuk amalan membaca dalam kalangan masyarakat adalah melalui penganjuran kempen kesedaran. Hal ini dikatakan demikian kerana, kempen membaca mampu meningkatkan kesedaran dalam kalangan masyarakat tentang kepentingan membaca. Sebagai contoh, pihak kerajaan boleh menganjurkan Kempen Marilah Membaca dan program Jom Baca Bersama 10 Minit secara besar-besaran di samping meningkatkan kemudahan perpustakaan awam agar lebih lengkap dan selesa. Usaha tersebut perlu dilakukan secara berterusan seperti kata peribahasa, alang-alang menyeluk pekasam, biar sampai ke pangkal lengan. Impaknya, masyarakat akan sedar akan kemaslahatan amalan membaca dalam kehidupan seharian. Tegasnya, kempen kesedaran perlu dilaksanakan bagi memupuk amalan membaca dalam kalangan masyarakat. 

    Jika ditelusuri secara mendalam, pihak sekolah perlu memikul obligasi untuk memupuk minat membaca dalam kalangan murid. Hal ini dikatakan demikian kerana, institusi pendidikan merupakan platform terbaik untuk memupuk nilai murini seperti rajin membaca kerana murid banyak menghabiskan masa di sekolah. Sebagai uswahnya, guru bahasa boleh memperhebat program NILAM dengan memberikan ganjaran kepada murid-murid yang berjaya mencapai target yang ditetapkan. Implikasinya, murid akan memanfaatkan masa lapang untuk membaca umpama kata peribahasa, alah biasa tegal biasa. Oleh itu, bergelanggang di mata orang banyak,  pihak sekolah  boleh mengadakan pelbagai program yang bertemakan amalan membaca untuk menanam sikap suka membaca dalam kalangan murid persis kata aforisme, laut ditimba tak akan kering.

    Dari tinta kaca yang berbeza, ibu bapa perlu menerapkan amalan membaca dalam jiwa anak-anak  sejak kecil lagi bak kata peribahasa, melentur buluh biarlah dari rebungnya. Hal ini dikatakan demikian kerana, ibu bapa merupakan insan yang paling rapat dengan anak dan mampu membentuk sahsiah dan jati diri yang kukuh dalam diri anak. Bertitik tolak daripada itu, ibu bapa harus menjadi suri teladan kepada anak dengan meluangkan masa untuk membaca bahan bacaan yang bermanfaat bersama-sama anak. Ibu bapa juga boleh menyediakan perpustakaan mini di rumah agar anak-anak boleh membaca dengan selesa pada bila-bila masa sahaja. Kesan daripada usaha tersebut, anak akan membudayakan amalan membaca dalam kehidupan seharian ibarat kata peribahasa, bagaimana acuan begitulah kuihnya. Maka, jelaslah bahawa, ibu bapa harus berperanan untuk menyemai benih suka membaca dalam sanubari anak-anak agar amalan ini menjadi rutin hidup mereka.

    Melihat pada perspektif yang berbeza pula, pihak penerbit sewajarnya melangkah seiring dengan perkembangan teknologi untuk menghasilkan lebih banyak bahan bacaan elektronik yang menarik. Hal ini dikatakan demikian kerana, masyarakat kini lebih berminat untuk mengakses maklumat dengan menggunakan peranti elektronik seperti telefon pintar dan tablet. Sejajar dengan itu, pihak penerbit harus mempelbagaikan genre buku seperti  e-buku, e-majalah, e-surat khabar dan e-artikel agar lebih mudah dan lebih pantas dicapai oleh masyarakat. Impaknya, masyarakat boleh membaca pada bila-bila masa dan di mana-mana sahaja hanya dengan menggunakan hujung jari sahaja. Oleh itu, ternyata benarlah bahawa, pihak penerbit buku perlu melakukan transformasi sejajar dengan perkembangan teknologi digital untuk memupuk amalan membaca dalam kalangan masyarakat. 

    Akhirulkalam, terdapat pelbagai peranan yang perlu dimainkan oleh pihak-pihak tertentu dalam usaha menyemai amalan membaca dalam kalangan masyarakat terutamanya generasi Z. Sehubungan dengan itu, semua pihak yang terbabit harus bekerjasama melangkah sederap ke hadapan untuk memastikan amalan membaca menjadi budaya masyarakat Malaysia. Mudah-mudahan dengan iltizam yang padu dan nawaitu yang jitu, kita dapat melahirkan generasi berminda kelas pertama yang kreatif, inovatif dan berdaya saing seperti kata slogan, Bangsa Membaca Bangsa Berjaya.

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Manfaat-manfaat Semangat Kejiranan

Kepentingan Sektor Pelancongan kepada Rakyat dan Negara

Langkah-langkah Memupuk Semangat Kejiranan