Kepentingan Amalan Menabung

 


Dalam menongkah arus modenisasi abad ke-21, amalan menabung semakin terpinggir dalam kalangan masyarakat. Isu ini sering menjadi polemik dalam wacana akademik. Sesungguhnya, masalah ini tidak wajar dipandang sebelah mata terutamanya dalam situasi ekonomi dunia yang tidak stabil lantaran ancaman COVID-19 yang melanda dunia beberapa tahun ini. Sehubungan dengan itu, marilah kita rungkai satu demi satu kepentingan amalan menabung kepada masyarakat agar pengetahuan kita bertambah tentang amalan mulia ini kerana jauh berjalan luas pandangan. 
    Umum mengetahui bahawa, kepentingan prima amalan menabung ialah amalan ini dapat memupuk sifat berjimat cermat dan tidak boros dalam diri kita. Hal ini dikatakan demikian kerana, kita akan berbelanja secara berhemat. Sebagai contoh, kita akan menyediakan senarai barang keperluan sebelum membeli-belah. Impaknya, kita akan membeli barang yang penting dan berguna sahaja. Maka, jelaslah bahawa, amalan menabung melatih kita supaya berbelanja secara bijak ibarat kata peribahasa, cermat masa banyak, jimat masa sedikit.
    Selain itu, manfaat yang tidak boleh dikesampingkan ialah amalan menabung membolehkan kita mempunyai simpanan kewangan untuk masa hadapan. Hal ini dikatakan demikian kerana, wang amat penting demi mengekalkan kesejahteraan hidup. Tamsilnya, seseorang pelajar boleh menggunakan wang simpanannya untuk membiayai kos pengajian dan kos penginapan ke menara gading. Implikasinya, jika ilmu penuh di dada, seseorang mampu memperoleh kerjaya yang berprestij tinggi dan menjalani kehidupan yang lebih baik umpama kata peribahasa, isi dada bekal berjalan. Tegasnya, amalan menabung merupakan prakarsa yang pragmatik demi menjamin kehidupan yang mapan dan masa depan yang lebih cerah.
    Jika ditelusuri secara mendalam, amalan menabung membolehkan kita mempunyai bekalan wang untuk kegunaan kecemasan. Hal ini realitinya menjelaskan bahawa, kita tidak dapat menjangka malapetaka yang akan menimpa diri kita atau ahli keluarga kerana malang tidak berbau. Misalnya, masalah kesihatan yang memerlukan kos perubatan yang tinggi. Dengan adanya wang simpanan, nescaya kita dapat menghadapi situasi tersebut dengan lebih mudah dan tenang. Oleh itu, benarlah bahawa amalan menabung membolehkan kita membuat persiapan awal untuk menghadapi kemusykilan hidup persis kata aforisme, sediakan payung sebelum hujan. 
    Melihat pada perspektif yang berbeza pula, amalan menabung membantu kita dalam membina disiplin kewangan. Melalui amalan menabung, kita dapat melatih diri untuk membuat belanjawan bulanan yang berkesan. Contohnya, kita akan membuat anggaran perbelanjaan keperluan mengikut kemampuan diri seperti mengukur baju di badan sendiri. Kesan daripada tindakan tersebut, kita dapat menghindari sikap berbelanja melebihi pendapatan dan terjebak dengan masalah hutang. Sudah terang lagi bersuluh bahawa, amalan menabung membantu kita memantau kedudukan kewangan peribadi dengan efisien. 
    Akhirulkalam, terdapat pelbagai manfaat yang boleh kita peroleh daripada amalan menabung. Sehubungan dengan itu, setiap ahli masyarakat wajar memupuk sikap suka menabung dalam kehidupan seharian bak kata peribahasa, berakit-rakit ke hulu, berenang-renang ke tepian, bersakit-sakit dahulu, bersenang-senang kemudian. Mudah-mudahan dengan iltizam yang padu dan nawaitu yang jitu, masyarakat dapat menikmati kehidupan yang sejahtera. 

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Manfaat-manfaat Semangat Kejiranan

Kepentingan Sektor Pelancongan kepada Rakyat dan Negara

Langkah-langkah Memupuk Semangat Kejiranan