Cara-cara Generasi Muda Menyemarakkan Semangat Patriotik
Pada era pascakemerdekaan ini, semangat patriotik dalam kalangan rakyat, khususnya generasi muda kian tandus. Kebanyakan generasi muda "merdeka" hanya bebas daripada cengkaman penjajahan dan menghayati makna merdeka dengan sekadar melaungkan slogan serta mengibarkan Jalur Gemilang semata-mata. Jika ditelusuri secara mendalam, fenomena ini terjadi disebabkan oleh kekurangan didikan sejak kecil, kempen patriotik kurang efektif dan kelonggaran penerapan mata pelajaran Sejarah di sekolah. Situasi ini perlu dipandang serius kerana golongan inilah yang bakal menerajui pucuk pimpinan negara ibarat kata peribahasa, pemuda harapan bangsa, pemudi tiang negara. Sehubungan dengan itu, marilah kita menghalusi cara-cara yang boleh dilakukan oleh generasi muda untuk menyemarakkan semangat patriotik sebelum kudis menjadi tokak agar inti pati wacana ini dapat meningkatkan kesedaran seluruh strata masyarakat di negara ini.
Usaha yang paling ampuh untuk menyemarakkan semangat patriotik ialah generasi muda perlu menjaga hubungan baik dengan kaum lain. Sejarah jelas menunjukkan bahawa Tanah Melayu berjaya mencapai kemerdekaan atas muafakat dan toleransi antara kaum Melayu, Cina dan India serta etnik Sabah dan Sarawak. Para pejuang kemerdekaan sanggup mengetepikan kepentingan kaum demi memperoleh kemerdekaan daripada pihak penjajah British. Lantaran itu, generasi muda harus menjejak langkah orang-orang terdahulu yang meletakkan kepentingan negara sebagai keutamaan. Sebagai contoh, generasi muda sewajarnya saling menghormati agama dan kepercayaan kaum lain dan menghindari sifat rasis. Sementelahan, generasi muda hendaklah berkawan dengan semua kaum tanpa mengira warna kulit. Berkat daripada usaha tersebut, kita dapat mengelakkan pertelingkahan dan rusuhan kaum seperti peristiwa hitam 13 Mei 1969 agar pisang tidak berbuah dua kali. Benarlah kata peribahasa, tak tumbuh tak melata, tak sungguh orang tak kata, generasi muda perlu mengekalkan hubungan silaturahim antara kaum bagi membentuk perpaduan yang utuh ibarat kata pepatah, bersatu teguh, bercerai roboh.
Selain itu, cara yang tidak boleh dikesampingkan ialah generasi muda harus menghargai jasa dan pengorbanan tokoh-tokoh terdahulu. Generasi muda perlu cakna terhadap perjuangan pahlawan negara yang rela menggadai nyawa demi mempertahankan maruah dan kedaulatan negara bak kata peribahasa, biar putih tulang, jangan putih mata. Contohnya, perjuangan Rentap, Mat Kilau dan Tok Janggut yang kental perlu dipahat dalam ingatan generasi pascamerdeka kerana harimau mati meninggalkan belang, manusia mati meninggalkan nama. Oleh itu, generasi muda perlu berbekalkan ilmu di dada dan berusaha untuk mengekalkan kedaulatan serta kesejahteraan negara sebagai tanda menghargai segala pengorbanan tokoh-tokoh negara. Di samping itu, generasi muda patut menyambut Hari Pahlawan secara gilang-gemilang demi memperingati jasa dan pengorbanan mereka. Sebagai impak, generasi muda akan sentiasa peka akan tanggungjawab diri untuk memelihara kemerdekaan negara. Jelaslah bahawa generasi muda harus menghargai jasa dan pengorbanan tokoh-tokoh terdahulu agar semangat patriotik terus bersemarak dalam jiwa mereka.
Meniti kodifikasi seterusnya, generasi muda perlu memahami asal usul sejarah kemerdekaan negara. Kefahaman tentang sejarah negara amatlah penting untuk menyemai sifat mencintai negara dalam sanubari seseorang individu. Melalui penghayatan sejarah, generasi muda akan menghargai kebebasan yang dikecapi. Tamsilnya, generasi muda menyambut Hari Kemerdekaan pada 31 Ogos setiap tahun dengan mengibarkan Jalur Gemilang. Sambutan gilang-gemilang ini pasti membangkitkan patriotisme dalam kalangan anak watan agar melaksanakan kewajipan masing-masing sebagai rakyat Malaysia tidak sekadar hanya meneruskan perjuangan para pejuang negara untuk mempertahankan kedaulatan negara, justeru berusaha untuk membangunkan negara dalam pelbagai aspek agar setanding dengan negara-negara gergasi di seantero sekali gus mencapai taraf duduk sama rendah, berdiri sama tinggi. Tegasnya, generasi muda perlu didedahkan asal usul watan tercinta agar patriotisme berakar di lubuk kalbu, bukan sekadar retorik semata-mata.
Tidak dapat disangkalkan jua, generasi muda perlu menghayati Rukun Negara. Melalui penghayatan lima prinsip Rukun Negara, generasi muda akan memupuk rasa hormat kepada pemimpin dan undang-undang negara, di samping menghargai keamanan dan kemakmuran yang dikecapi semenjak negara mencapai kemerdekaan. Sebagai contoh, generasi muda yang menghayati prinsip-prinsip Rukun Negara akan sanggup mempertahankan kedaulatan negara dan tidak akan terpengaruh oleh unsur-unsur negatif yang boleh menggugat kesejahteraan dan keharmonian negara. Sementelahan, penghayatan Rukun Negara dapat melahirkan generasi yang bersatu padu tanpa mengira kaum dan agama ibarat kata peribahasa, bulat air kerana pembetung, bulat manusia kerana muafakat. Implikasinya, semangat patriotik dalam kalangan generasi muda dapat diperkukuh demi kemajuan dan kesejahteraan negara. Maka, benarlah bahawa penghayatan Rukun Negara perlu disemai dalam jiwa rakyat sejak di bangku sekolah lagi umpama peribahasa, melentur buluh biarlah dari rebungnya untuk melahirkan generasi yang mengutamakan kepentingan negara berbanding dengan kepentingan diri dan kaum.
Sebagai penyimpul kata bagi segala yang dibicarakan, terdapat pelbagai cara yang boleh dilakukan oleh generasi muda untuk menyemarakkan semangat patriotik. Walakin begitu, sinergi padu daripada semua pihak, termasuklah pihak kerajaan, institusi pendidikan, ibu bapa dan masyarakat amatlah signifikan untuk memastikan patriotisme terus mekar dalam sanubari generasi muda. Mudah-mudahan dengan iltizam yang padu dan nawaitu yang jitu, kita mampu membentuk masyarakat MADANI yang teguh dan disegani di persada dunia bak kata pepatah, bersatu teguh, bercerai roboh. Ingatlah bahawa, pemuda harapan bangsa, pemudi tiang negara.

Comments
Post a Comment