Cara-cara melahirkan Rakyat yang Berinovasi Baharu dalam Teknologi
Cara primer untuk melahirkan rakyat yang mampu mencetuskan inovasi baharu dalam teknologi harus bermula daripada individu. Hal ini menjelaskan bahawa, setiap individu perlu membudayakan sikap berani mencuba dan berfikiran kreatif sejak di bangku sekolah lagi. Sikap tersebut mampu melatih minda agar sentiasa mencari penyelesaian baharu dalam kehisupan seharian. Sebagai contoh, kita boleh menyertai pertandingan robotik atau pertandingan reka cipta yang mencabar daya inovasi di sekolah. Melalui pengalaman tersebut, kita dapat membina keyakinan diri dan kemahiran menyelesaikan masalah secara praktikal. Jelaslah bahawa, setiap individu perlu bersikap berani mengambil risiko untuk menghasilkan idea baharu dalam bidang teknologi ibarat kata peribahasa, jika tidak dipecahkan ruyung, manakan dapat sagunya.
Selain itu, usaha yang tidak boleh dikesampingkan ialah peranan ibu bapa dalam mencungkil bakat dan kemahiran anak dalam bidang teknologi. Dalam konteks ini, sokongan dan galakan ibu bapa amat signifikan untuk menimbulkan minat dan kemahiran anak dalam bidang teknologi sejak usia muda lagi bak kata peribahasa, melentur buluh biarlah dari rebungnya. Contohnya, ibu bapa boleh membawa anak-anak ke pameran Petrosains di Suria KLCC. Justeru, mereka juga boleh mendedahkan anak kepada teknologi kenderaan elektrik yang dapat mengurangkan pencemaran alam di samping meningkatkan keselamaatn jalan raya. Pengalaman fizikal yang menarik nescaya mampu mengembangkan minat golongan cilik dalam bidang teknologi. Ternyata benarlah kata peribahasa Melayu, tak tumbuh tak melata, tak sungguh orang tak kata, ibu bapa perlu memikul obligasi dominan dalam usaha memupuk potensi awal anak yang bersikap terbuka terhadap idea inovasi baharu dalam teknologi.
Manhaj jitu seterusnya ialah pihak institusi pendidikan perlu menjadi hab penyelidikan dan pembangunan (R&D) yang aktif untuk mencetuskan idea teknologi baharu dalam kalangan pelajar. Sinergi padu antara pensyarah dengan mahasiswa mampu menghasilkan penyelidikan yang inovatif dan praktikal. Tamsilnya, pelajar jurusan kejuruteraan dibimbing oleh pensyarah untuk mengintegrasikan teknologi pintar dalam sektor pertanian moden seperti Sistem Fertigasi Pintar, dron dan robotik bagi meningkatkan produktiviti dan kualiti hasil pengeluaran. Usaha tersebut bukan sahaja dapat memajukan sektor pertanian negara, malah dapat mengurangkan kebergantungan terhadap tenaga kerja asing sekali gus memberikan pendedahan awal kepada golongan muda terhadap keperluan dunia sebenar. Intihanya, peranan institusi pendidikan amatlah penting dalam melahirkan generasi yang berinovasi tinggi.
Tidak dapat disangkalkan jua, pihak kerajaan perlu menyediakan dana penyelidikan sebagai sokongan kepada inovator tempatan dalam mengembangkan hasil ciptaan mereka. Inisiatif tersebut dapat membantu golongan penginovasi merealisasikan idea mereka untuk menghasilkan produk yang berguna. Sebagai contoh, Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) menyediakan pelbagai dana seperti Dana PEMACU 2.0, Dana Uji Beli dan Dana Pengkomersialan untuk inovator tempatan menguji dan membangunkan produk mereka. Bantuan dana tersebut pasti akan mendorong lebih ramai rakyar Malaysia menceburi bidang inovasi teknologi. Jelaslah bahawa, peranan pihak kerajaan sangat signifikan dalam melahirkan inovator tempatan yang berdaya saing.
Sebagai penutup bingkisan bicara, terdapat pelbagai prakarsa yang sistematik dan pragmatik dalam melahirkan lebih ramai rakyat Malaysia yang mampu mencetuskan inovasi baharu teknologi. Meskipun begitu, semua pihak perlu bahu-membahu melangkah sederap ke hadapan supaya wujud sinergi yang utuh untuk merealisasikan impian tersebut. Jika inisiatif-inisiatif tersbut dilaksanakan secara holistik, nescaya Malaysia mampu mencapai taraf duduk sama rendah, berdiri sama tinggi dengan negara-negara gergasi di seantero dunia. Mudah-mudahan dengan iltizam yang padu dan nawaitu yang jitu, kita mampu membentuk masyarakat Malaysia yang inovatif, cemerlang dan berprestij. Ingatlah bahawa, Nadi Inovasi, Jiwa Transformasi.

Comments
Post a Comment