Faktor-faktor Generasi Muda Tidak Berminat dalam Bidang Penternakan
Dalam meniti arus modenisasi abad ke-21, bidang penternakan semakin kurang mendapat sambutan daripada golongan muda. Golongan ini lebih cenderung memilih pekerjaan kolar putih yang menjanjikan prospek pendapatan yang lumayan. Berdasarkan laporan Interim Banci Pertanian 2024, hanya 15 peratus anak muda menceburi sektor pertanian dan penternakan. Fenomena ini telah menimbulkan kebimbangan terhadap masa depan keterjaminan bekalan makanan negara serta pertumbuhan iktisad masyarakat luar bandar. Persoalannya kini, mengapakah generasi muda tidak berminat menceburi bidang perternakan? Sehubungan dengan itu, marilah kita menelusuri faktor-faktor generasi muda tidak berminat dalam bidang penternakan agar pengetahuan kita bertambah tentang inti pati wacana ini umpama peribahasa, jauh perjalanan, luas pemandangan.
Pada hemat saya, generasi muda tidak berminat dalam bidang penternakan disebabkan oleh faktor kotor, sukar dan memenatkan. Hal ini dikatakan demikian kerana kerja penternakan memerlukan penternak memerah keringat dan menghabiskan tenaga yang banyak untuk menguruskan haiwan ternakan setiap hari tanpa mengira waktu. Sebagai contoh, penternak ayam perlu membersihkan reban ayam dan menguruskan pembuangan najis ayam serta sisa makanan ayam sebagai rutin harian bagi memastikan kebersihan kawasan ternakan sentiasa terjaga untuk mengelakkan penularan pelbagai penyakit seperti penyakit selesema burung H5N1, sampar ayam dan salmonellosis. Persekitaran kerja yang tidak kondusif mendorong golongan ini memilih karier di pejabat yang berhawa dingin dan selesa serta berpenampilan profesional. Jelaslah bahawa, persepsi negatif terhadap pekerjaan penternakan menjadi faktor utama golongan muda menjauhkan diri daripada bidang penternakan.
Menyingkap jendela fakta seterusnya, generasi muda tidak berminat dalam bidang penternakan disebabkan oleh pendapatan dalam bidang tersebut dianggap tidak stabil bagai kais pagi makan pagi, kais petang makan petang. Hal ini dikatakan demikian kerana pendapatan golongan penternak bergantung pada harga pasaran. Sementelahan, mereka juga perlu berdepan dengan risiko kerugian apabila haiwan ternakan diserang penyakit akibat bencana alam. Sebagai evidensinya, penternak ikan air tawar dilaporkan mengalami kerugian ratusan ribu ringgit kerana hasil ternakannya, termasuklah udang galah dan ikan tilapia telah hanyut dibawa arus deras akibat musibah banjir yang melanda kawasan penternakan. Maka, tidak hairanlah golongan muda lebih cenderung memilih pekerjaan yang menawarkan pendapatan tetap setiap bulan. Ternyata benarlah kata peribahasa, tak tumbuh tak melata, tak sungguh orang tak kata, ketidakstabilan pendapatan merupakan salah satu faktor generasi muda tidak berminat menceburi bidang penternakan.
Melihat pada perspektif yang berbeza pula, generasi muda tidak berminat dalam bidang penternakan kerana kekurangan modal untuk memulakan perusahaan tersebut. Hal ini menjelaskan bahawa, penternak memerlukan modal yang besar untuk memulakan perusahaan penternakan. Tamsilnya, penternak lembu memerlukan kawasan tanah yang luas dan modal yang besar untuk membeli baka lembu yang baik dan makanan lembu yang berkualiti. Justifikasinya, harga seekor anak lembu baka Charolies atau Limousin kini telah mencecah RM 5,000. Kos memulakan perusahaan yang tinggi telah mengekang niat golongan ini untuk berjinak-jinak dalam bidang penternakan. Tegasnya, kekangan modal merupakan faktor generasi muda tidak berminat dalam bidang penternakan.
Tidak dapat disangkalkan jua, generasi muda tidak berminat dalam bidang penternakan kerana tiada sokongan dan galakan daripada ahli keluarga. Hal ini dikatakan demikian kerana masyarakat kini berpersepsi bahawa pekerjaan menternak haiwan kurang berprestij dan tidak mempunyai masa depan yang cerah. Bertitik tolak daripada itu, sesetengah ibu bapa melarang anak-anak mereka bekerja di ladang ternakan kerana beranggapan pekerjaan tersebut hanya sesuai untuk "orang kampung" dan mereka yang berstatus sosial rendah. Natijahnya, minat anak muda dalam bidang tersebut kian luntur dari semasa ke semasa. Sudah terang lagi bersuluh bahawa, stigma ahli keluarga terhadap bidang penternakan akan mempengaruhi hala tuju kerjaya generasi muda.
Sebagai penyimpul kata bagi segala yang dibincangkan, terdapat pelbagai faktor yang mempengaruhi minat generasi muda untuk berkecimpung dalam bidang penternakan. Oleh itu, pihak kerajaan, sekolah dan ibu bapa perlu bahu-membahu melangkah seiring ke hadapan untuk mengubah persepsi generasi muda terhadap bidang ini. Sekiranya prakarsa-prakarsa yang sistematik dan pragmatik dilaksanakan secara berterusan, nescaya kita mampu melahirkan penternak muda yang kompeten dan berdaya saing dalam bidang penternakan sekali gus memberikan nafas baharu kepada bidang ini untuk terus berkembang maju. Ingatlah bahawa, jika tidak dipecahkan ruyung, manakan dapat sagunya.
Comments
Post a Comment