Surat Tidak Rasmi: Pengalaman Menyambut Hari Raya Aidilfitri


No. 18, Jalan Melur 3,
Taman Seri Damai,
28000 Temerloh,
Pahang.

8 Mei 2026

Menemui sahabatku, Aminah yang berada di Johor Bahru semoga sihat sejahtera di sisi keluarga tersayang.

Saudari,

Apa khabar saudari di sana? Saya berharap saudari berada dalam keadaan sihat wal afiat. Tujuan saya menulis surat ini adalah untuk menceritakan pengalaman saya menyambut Hari Raya Aidilfitri pada tahun ini. Sambutan perayaan kali ini amat meriah dan meninggalkan kenangan yang indah kepada saya sekeluarga.

Pada malam sebelum hari raya, kami sekeluarga sibuk membuat persiapan. Ibu memasak pelbagai juadah seperti ketupat, rendang ayam dan lemang manakala ayah pula memasang pelita di halaman rumah. Saya dan adik membantu abang menghias ruang tamu supaya kelihatan cantik dan kemas. Kami bekerjasama bagai aur dengan tebing demi memastikan rumah berada dalam keadaan terbaik untuk menyambut tetamu.

Pada pagi hari raya, kami bangun awal untuk mandi sunat Aidilfitri dan memakai pakaian baharu. Selepas bersarapan, kami sekeluarga pergi ke masjid untuk menunaikan solat sunat hari raya. Setelah pulang ke rumah, kami bermaaf-maafan sambil dan memohon restu daripada ibu bapa. Tradisi ini wajar diteruskan kerana adat budaya nenek moyang tidak luput ditelan zaman umpama peribahasa tak lapuk dek hujan, tak lekang dek panas.

Pada hari raya, saudara-mara dan jiran tetangga berkunjung ke rumah kami. Kami menjamu tetamu dengan pelbagai makanan tradisional. Saya berasa amat gembira kerana dapat bertemu dengan sepupu-sepupu yang sudah lama tidak berjumpa. Walaupun jarang bersua muka, hubungan kami tetap erat bak kata pepatah, jauh di mata, dekat di hati. Kami bermain bunga api, berbual-bual dan mengambil gambar bersama-sama sebagai kenangan manis.

Pada sebelah petang pula, kami menziarahi saudara-mara di kampung berhampiran. Di sana, saya dapat merasai kemeriahan suasana kampung yang penuh dengan gelak tawa dan kemesraan. Sambutan hari raya benar-benar mengeratkan hubungan silaturahim antara ahli keluarga dan jiran tetangga sehingga kami hidup bagai isi dengan kuku. Saya juga belajar bahawa amalan menghormati tetamu perlu dipupuk sejak kecil kerana melentur buluh biarlah dari rebungnya.

Sambutan Hari Raya pada tahun ini memberikan seribu kenangan yang sukar dilupakan. Saya berharap agar tradisi seperti ini akan terus diamalkan oleh generasi muda pada masa hadapan. Sesungguhnya, sambutan perayaan dapat memupuk perpaduan dan membentuk masyarakat yang harmoni kerana muafakat membawa berkat.

Sampai di sini sahaja coretan saya pada kali ini. Semoga saudari turut berpeluang menikmati sambutan perayaan yang meriah bersama-sama keluarga tersayang. Saya berharap agar kita dapat berjumpa pada cuti sekolah nanti.

Sekian, terima kasih.

 

Sahabatmu,
Donna

Comments

Popular posts from this blog

Usaha-usaha menarik Minat Golongan Muda Menceburi Bidang Pertanian

Kepentingan-kepentingan Semangat Patriotisme kepada Remaja

Usaha-usaha Mengatasi Masalah Buli dalam Kalangan Pelajar